Nothing bawa kempen global Charli XCX ke Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR – Kawasan tumpuan pelancong, Bukit Bintang tampil dengan wajah berbeza minggu ini apabila jenama telefon pintar dan audio pengguna, Nothing membawa kempen globalnya ke ibu negara menerusi paparan digital gergasi yang menampilkan penyanyi antarabangsa, Charli XCX.
Kemunculan penyanyi, penulis lagu dan pelakon kelahiran Britain itu di layar skrin digital sekitar kawasan segi tiga emas tersebut merupakan sebahagian daripada kempen global Nothing yang dikenali sebagai ‘NOTHING (CHARLI XCX)’.
Pelancaran itu susulan pengumuman Charli XCX yang menyertai Nothing sebagai duta jenama global pertama serta pemegang saham syarikat tersebut.
Charli XCX atau Charlotte Emma Aitchison menyertai barisan artis antarabangsa lain termasuk The Weeknd, Casey Neistat dan Swedish House Mafia yang menyokong Nothing bukan sekadar sebagai jenama teknologi, malah sebagai platform untuk ekspresi kreatif.

Pada masa sama, Nothing turut memperkenalkan visual kempen terbaharu bagi siri Phone (4a) dan Headphone (a) menerusi poster yang dipasang di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur.
Kempen itu menampilkan kehadiran Nothing di pelbagai lokasi bandar, daripada paparan digital bersaiz besar di Bukit Bintang hingga kepada pengiklanan luar rumah (OOH) dan poster tampal gaya wheatpaste di kawasan jalanan.
Di sekitar Kuala Lumpur, kedua-dua elemen kempen itu bergerak seiring apabila satu daripadanya dipaparkan menerusi layar digital yang mencorakkan landskap visual Bukit Bintang, manakala satu lagi ditempatkan lebih dekat dengan orang ramai di aras jalan.
Menurut Nothing, kempen berkenaan mencerminkan pendekatan jenama itu yang tampil secara langsung, visual dan tidak berlebihan dalam memperkenalkan identitinya.
Di Kuala Lumpur, pendekatan itu diterjemahkan menerusi kehadiran jenama berkenaan di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai serta laluan yang digunakan setiap hari.
Bagi Nothing, pelancaran ini turut mencerminkan aspirasi syarikat untuk membangunkan teknologi yang menggabungkan elemen reka bentuk, budaya dan ekspresi diri.

Daripada kempen global Charli XCX hingga kepada keterlihatan Phone (4a) dan Headphone (a) di peringkat jalanan, jenama itu terus mencipta pengalaman yang lebih dekat dengan budaya berbanding pendekatan pengiklanan teknologi pengguna konvensional.
Orang ramai yang berada di Kuala Lumpur berpeluang menyaksikan sendiri kempen berkenaan di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini.
Nothing yang diasaskan di London mempunyai misi menjadikan teknologi lebih menyeronokkan dan memberi inspirasi kepada ekspresi diri menerusi produk pemenang anugerah yang tampil berbeza dari segi reka bentuk, bunyi dan pengalaman pengguna.
Didorong oleh kreativiti yang memberontak, Nothing kini antara jenama telefon pintar dan audio pengguna yang berkembang pesat di peringkat global serta satu-satunya syarikat telefon pintar baharu yang muncul dalam tempoh sedekad lalu.
Disokong oleh 11,000 pelabur komuniti dan lebih AS$450 juta daripada pelabur global terkemuka, syarikat itu terus membayangkan semula masa depan teknologi peribadi untuk generasi akan datang yang dibentuk oleh budaya, kreativiti dan komuniti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





