Nahas trak FRU: Pemandu lori direman empat hari
TELUK INTAN – Pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Km15 Jalan Sungai Manik – Sungai Lampam, di sini semalam direman selama empat hari.
Permohonan reman itu dikemukakan dihadapan Majistret Naidatul Athirah Azman oleh Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin, yang hadir sendiri dalam prosiding, hari ini.
Majistret Naidatul Athirah Azman membenarkan permohonan reman selama empat hari, bermula hari ini hingga Sabtu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian.
Terdahulu, lelaki berusia 45 tahun itu dibawa ke mahkamah sekitar jam 8.50 pagi dengan memakai baju hitam dan seluar trek biru gelap.
Dalam kejadian semalam, sembilan anggota FRU maut dalam pelanggaran dengan sebuah lori yang membawa muatan batu.
Lapan lagi anggota FRU sedang dirawat di Hospital Teluk Intan, manakala seorang lagi telah dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, semalam mengesahkan, pemandu lori itu mempunyai rekod jenayah, termasuk satu sabitan kes rogol.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








