
Nahas Jeju Air: Kotak hitam pesawat malang berhenti merakam data empat minit sebelum nahas
SEOUL – Penyiasat nahas pesawat Jeju Air berdepan kesukaran apabila kotak hitam pesawat malang itu didapati berhenti merakam data empat minit sebelum nahas itu berlaku.
Perkara itu didedahkan Kementerian Pengangkutan Korea dalam satu kenyataan, semalam.
“Analisis mendedahkan bahawa data daripada CVR (Perakam Suara Kokpit) dan FDR (Perakam Data Penerbangan) tidak dirakam dalam tempoh empat minit sebelum nahas berlaku.
“(Sehubungan itu) kumpulan penyiasat sedang menyusun tindakan baharu untuk menyiasat punca kehilangan data sepanjang siasatan kemalangan yang sedang berlangsung,” kata kenyataan itu, semalam.
Para penyiasat mengatakan bahawa kotak hitam tersebut sangat penting dalam siasatan mereka tetapi menegaskan mereka tidak akan menyerah dalam usaha mencari punca kemalangan itu.
“Siasatan akan dilakukan melalui pemeriksaan dan analisis pelbagai data. Pasukan penyiasat bertekad untuk melakukan yang terbaik bagi menentukan punca kemalangan dengan tepat,” kata kementerian itu lagi.
Pesawat Boeing 737-800 milik Jeju Air itu terhempas ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, kira-kira 290km di barat daya Seoul, 29 Disember lalu.
Insiden dipercayai berpunca daripada kegagalan gear pendaratan, menyebabkan pesawat terpaksa melakukan pendaratan tanpa roda, lalu merempuh dinding luar landasan dan terbakar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








