BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

MRT APEC 2026: Malaysia tegas sokong perdagangan berasaskan peraturan

KUALA LUMPUR – Malaysia menegaskan komitmen untuk terus menyokong sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, telus dan berasaskan peraturan ditetapkan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perkara itu dinyatakan ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan (MRT) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2026 di Suzhou, China, baru-baru ini.

Delegasi Malaysia diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada mesyuarat yang berlangsung dari 22 hingga 23 Mei lalu.

Johari mengetuai delegasi Malaysia ke MRT APEC 2026 baru-baru ini.

Johari berkata, perbincangan tertumpu kepada pelbagai isu ekonomi serantau dan global termasuk pengukuhan sistem perdagangan pelbagai hala, integrasi ekonomi serantau, perdagangan digital, kecerdasan buatan (AI), kemampanan, keselamatan tenaga serta daya tahan rantaian bekalan.

“Dalam suasana ketidaktentuan geopolitik dan peningkatan fragmentasi ekonomi global, Malaysia menegaskan sokongan kuat terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, telus, boleh diramal dan berasaskan peraturan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) kekal sebagai teras utama,” katanya.

Malaysia turut menekankan bahawa perjanjian perdagangan serantau dan mega perlu saling melengkapi serta memperkukuh WTO selain meningkatkan kerjasama dalam aspek keselamatan tenaga dan rantaian bekalan global.

Dalam masa sama, Malaysia menegaskan manfaat pendigitalan, penggunaan AI dan peralihan hijau perlu bersifat praktikal, inklusif dan mudah diakses khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Malaysia komited bekerjasama rapat dengan ekonomi APEC bagi memastikan integrasi ekonomi serantau, transformasi digital, inisiatif kemampanan, keselamatan tenaga dan kerjasama rantaian bekalan mampu memberikan hasil yang praktikal serta berorientasikan perniagaan kepada rantau Asia-Pasifik,” katanya.

Di luar mesyuarat utama, beliau turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari China, Amerika Syarikat, New Zealand, Australia, Korea Selatan, Jepun dan Singapura bagi memperkukuh kerjasama ekonomi strategik.

Perbincangan tersebut memfokuskan kepada usaha meningkatkan perdagangan dan pelaburan, memperkukuh kerjasama sektor strategik termasuk keselamatan tenaga serta daya tahan rantaian bekalan selain mengukuhkan keyakinan pelabur dan daya tahan ekonomi serantau.

Johari turut mengadakan sesi libat urus bersama Gabungan Perniagaan AS-APEC serta beberapa syarikat yang mempunyai pelaburan dan operasi di Malaysia bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan perdagangan dan pelaburan semasa termasuk aspek pendigitalan, daya tahan rantaian bekalan dan fasilitasi pelaburan.

Mesyuarat itu diadakan bersempena tahun tuan rumah APEC 2026 oleh China dengan tema ‘Building an Asia-Pacific Community to Prosper Together’.

MITI menegaskan, Malaysia akan terus komited memperkukuh kerjasama ekonomi serantau serta memastikan rantau Asia-Pasifik kekal terbuka, berdaya tahan dan kondusif untuk pertumbuhan perdagangan serta pelaburan mampan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button