MPPK sokong kajian semula bayaran pinjaman PTPTN
KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyokong cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mengkaji semula kadar pinjaman dan terma pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), selaras dengan peningkatan kos sara hidup serta keperluan semasa mahasiswa.
MPPK dalam satu kenyataan berkata, semakan semula kadar pinjaman PTPTN dapat membantu pelajar menjalani kehidupan kampus dengan sejahtera, sekali gus membolehkan mereka menumpukan sepenuhnya kepada pengajian tanpa tekanan kewangan yang melampau.
“MPPK menyifatkan cadangan tersebut sebagai langkah tepat dan bertanggungjawab dalam memastikan pendidikan tinggi kekal inklusif, seimbang dan dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang ekonomi,” katanya.
MPPK turut menyeru pelajar yang menghadapi kesulitan kewangan agar tampil memaklumkan situasi mereka kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) institusi masing-masing atau kepada MPPK sendiri bagi tujuan pemantauan dan tindakan lanjut bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
MPPK mengiktiraf usaha KPT dan institusi pengajian tinggi yang menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan seperti Program Sulung, biasiswa dan bantuan khas, yang mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mahasiswa.
“Berhubung terma pembayaran balik pinjaman, MPPK menyarankan agar kaedah yang lebih fleksibel dan progresif diperkenalkan, khususnya bagi graduan dengan pendapatan rendah.
“Langkah ini, menurut MPPK, dapat memastikan bayaran balik dilakukan secara adil tanpa membebankan peminjam.” katanya.
MPPK turut menyokong usaha digitalisasi dan pendekatan ihsan oleh PTPTN dalam sistem kutipan bayaran, sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat dan kebertanggungjawaban sosial.
Sebagai badan mahasiswa tertinggi di peringkat nasional, MPPK menegaskan komitmen untuk terus menyuarakan pandangan, aspirasi dan keperluan pelajar kepada pihak berkepentingan, demi memastikan akses kepada pendidikan tinggi yang adil, seimbang dan menyeluruh untuk semua.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








