Monsun Timur Laut: Pantai Timur dijangka alami kesan awal – MetMalaysia
KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan sebanyak lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan bakal melanda negara sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) 2025–2026 yang dijangka bermula pada bila-bila masa.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia, Ambun Dindang berkata, fasa awal MTL dijangka berlaku antara pertengahan November hingga Disember ini dan akan memberi kesan awal kepada negeri di Pantai Timur Semenanjung, khususnya Kelantan dan Terengganu.
“Pada fasa pertengahan musim iaitu Disember hingga Januari, luruan monsun akan bergerak ke selatan dan memberi kesan kepada bahagian selatan Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.
“Manakala pada penghujung musim MTL antara Januari hingga Februari, hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Sabah dan Sarawak,” memetik laporan Buletin TV3, hari ini.
Menurut Ambun, analisis MetMalaysia menunjukkan jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat sepanjang musim MTL kali ini dan tarikh tepat bagi setiap episod akan ditentukan melalui pemantauan berterusan.
“MetMalaysia akan memaklumkan kepada masyarakat sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal sebelum setiap episod hujan lebat berlaku.
“Pemantauan dan ramalan cuaca dilakukan setiap hari bagi memastikan amaran dapat disebarkan dengan cepat dan tepat,” katanya lagi.
Tambah beliau, segala maklumat berkaitan ramalan dan amaran cuaca akan disampaikan melalui pelbagai saluran termasuk siaran televisyen serta media sosial rasmi MetMalaysia seperti Facebook, Instagram dan X (Twitter).
“Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline 24 jam MetMalaysia untuk mendapatkan maklumat dan ramalan cuaca semasa,” katanya lagi
Dalam masa sama, Ambun memaklumkan Sabah dijangka menerima hujan sedikit melebihi purata antara November ini hingga Februari tahun depan berikutan pengaruh fenomena La Nina singkat yang dijangka berlaku pada penghujung tahun ini.
Beliau turut menasihatkan masyarakat, terutamanya penduduk di kawasan berisiko banjir, supaya sentiasa peka terhadap amaran rasmi dan perkembangan cuaca sepanjang tempoh MTL bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








