MMW Bone Alignment Centre tingkat kesedaran penjagaan struktur tubuh
KUALA LUMPUR – MMW Bone Alignment Centre (MMW) melangkah ke fasa baharu dalam meningkatkan kesedaran umum mengenai kepentingan penjagaan struktur badan menerusi pembukaan cawangan kedua di Atria Shopping Gallery, Petaling Jaya, di sini.
Pembukaan pusat kedua selepas di Bukit Raja, Klang itu diharap dapat memenuhi keperluan rawatan bagi masalah berkaitan postur badan terutama yang melibatkan tulang, urat dan sendi kesan daripada gaya hidup moden hari ini.
Pengasasnya, Dr Max Wong atau lebih dikenali sebagai Wong Sifu berkata, MMW menggunakan rawatan melalui pendekatan teknik pelarasan struktur badan secara tradisional dan sistematik yang dinamakan Wu Yi Zheng Gu.
Katanya, pendekatan rawatan yang menggabungkan disiplin seni bela diri itu bukan sekadar memberi fokus kepada rawatan jangka pendek, sebaliknya membentuk budaya disiplin dan keseimbangan kesihatan untuk tempoh jangka panjang.

“Pembukaan cawangan baharu ini diharap dapat memperluas penyelesaian kepada masalah berkaitan struktur badan yang semakin kerap dihadapi kesan daripada gaya hidup ‘sedentari’ atau kurang bergerak masyarakat hari ini,” katanya pada majlis perasmian cawangan kedua MMW di tingkat 2, Atria Shopping Gallery, baru-baru ini.
Menurut Wong, antara punca utama yang menyumbang kepada masalah postur dan ketidakseimbangan struktur tubuh termasuk duduk terlalu lama, penggunaan telefon pintar secara berlebihan, tekanan kerja secara berterusan dan kurang aktiviti fizikal.
Namun katanya, ramai individu yang tidak menyedari kesakitan dialami berpunca daripada perubahan struktur badan yang berlaku secara perlahan-lahan dalam tempoh yang panjang.
“Ramai pelanggan hadir mendapatkan rawatan dengan aduan sakit lutut, sakit pinggang dan sakit belakang, namun punca sebenar masalah tidak semestinya pada kawasan yang mengalami kesakitan.
“Kadang-kadang ia berpunca daripada postur badan yang tidak seimbang, cara duduk yang salah atau tekanan berulang pada sendi tertentu sehingga menyebabkan tubuh menyesuaikan diri secara tidak normal.
“Di MMW, kami cuba memahami mengapa kawasan tersebut menerima tekanan berlebihan kerana setiap individu mempunyai corak pergerakan tubuh yang berbeza,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, pendekatan di MMW lebih menitikberatkan aspek keselamatan, kawalan dan penilaian tubuh secara menyeluruh sebelum sesi rawatan dijalankan.
“Setiap individu mempunyai keadaan tubuh yang berbeza, sebab itu kami tidak memaksa tubuh ‘dilentur’ di luar kemampuan semula jadinya,” katanya.

Jelas beliau, tubuh manusia berfungsi sebagai satu sistem yang saling berkait dan apabila kedudukan tulang belakang, pinggul atau lutut tidak seimbang, tekanan akan tertumpu kepada bahagian tertentu sehingga menyebabkan ketegangan otot serta kesakitan kronik.
“Tubuh manusia terbina untuk bergerak secara seimbang. Jika satu bahagian berubah fungsi atau kedudukan, bahagian lain akan cuba menyesuaikan diri dan keadaan itu akhirnya boleh menyebabkan kesakitan pada kawasan lain,” jelasnya.
Mengenai kos rawatan yang dikenakan, Wong berkata, harga bagi setiap sesi bergantung kepada tempoh dan kesukaran masalah yang dialami pesakit dengan anggaran harga bermula dari RM200 hingga RM650.
“Semuanya bergantung kepada jenis permasalahan. Dari rawatan migrain sehinggalah masalah kronik seperti slip-disc yang memerlukan pembedahan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









