MetMalaysia keluar amaran cuaca panas tahap dua di Padang Terap, Kedah
KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca panas tahap dua iaitu gelombang haba melibatkan kawasan Padang Terap, Kedah.
MetMalaysia dalam kenyataannya memaklumkan, sebanyak 12 kawasan di Semenanjung berada pada tahap satu atau berjaga-jaga melibatkan negeri Perlis serta beberapa daerah di Kedah iaitu Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu.
Selain itu, amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Timur Laut di Pulau Pinang, Hulu Perak di Perak serta Rembau di Negeri Sembilan.
“Gelombang haba ditakrifkan sebagai suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut, manakala tahap berjaga-jaga pula melibatkan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh sama,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas harian melalui laman sesawang rasmi MetMalaysia.
Sementara itu, MetMalaysia turut memaklumkan kejadian gempa bumi sederhana berukuran magnitud 5 yang melanda Barat Daya Sumatera, Indonesia pada pukul 2.08 pagi tadi.
Gempa bumi berkenaan berpusat pada koordinat 7.8 darjah selatan dan 104.6 darjah timur dengan kedalaman 121 kilometer.
Menurut kenyataan itu, gempa tersebut terletak kira-kira 260 kilometer barat daya dari Cilegon, Indonesia dan tidak membawa sebarang ancaman tsunami kepada Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








