Menghayati Rukun Negara: Peranan ibu bapa, media dalam membina bangsa
LEBIH lima dekad selepas ia diisytiharkan, Rukun Negara kekal sebagai asas terpenting dalam pembinaan bangsa Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya.
Namun sejauh mana ia benar-benar dihayati atau sekadar dihafal bergantung kepada peranan bersama bukan hanya kerajaan tetapi juga ibu bapa dan media.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan bahawa kejayaan mengangkat nilai Rukun Negara bergantung kepada sejauh mana ia dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

“Peranan ibu bapa dan media mungkin jauh lebih berkesan dan berterusan berbanding intervensi formal kerajaan. Kedua-duanya adalah agen yang paling dekat dengan masyarakat, khususnya generasi muda,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Sejarah Rukun Negara: Dari krisis ke konsensus
Rukun Negara lahir pada tahun 1970, setahun selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang menyaksikan rusuhan kaum menggugat perpaduan nasional.
Ia digubal sebagai falsafah kebangsaan dengan lima prinsip utama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan serta Kesusilaan.

Lima prinsip tersebut bukan sekadar slogan, tetapi asas untuk memastikan masyarakat Malaysia terus hidup dalam harmoni meskipun berbeza latar belakang.
Hari ini, cabaran baharu muncul dalam bentuk polarisasi politik, ketidaksopanan di media sosial dan budaya hidup moden yang semakin individualistik.
Ibu Bapa: Pendidik pertama, pemupuk nilai
Menurut Aaron, ibu bapa memainkan peranan terpenting kerana mereka adalah pendidik pertama anak-anak.
“Nilai seperti hormat-menghormati, sopan santun, cinta tanah air dan patuh undang-undang tidak boleh hanya dipelajari di sekolah tetapi perlu disuburkan di rumah melalui teladan dan amalan harian.
“Apabila ibu bapa mengamalkan budaya perbincangan sihat, menghormati pandangan orang lain dan menegur anak secara berhemah, mereka sebenarnya sedang mengajarkan prinsip Kesopanan dan Kesusilaan seperti dalam Rukun Negara,” katanya lagi.

Tambah beliau, penglibatan anak-anak dalam aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, sambutan Hari Kebangsaan atau kerja sukarela juga mampu menyemai kefahaman mengenai tanggungjawab sebagai warganegara.
“Namun, cabaran utama masa kini ialah kesibukan hidup moden yang menyebabkan ibu bapa semakin kurang meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak.
“Dalam banyak kes, peranti dan internet menjadi ‘pengasuh’ utama, sedangkan anak-anak memerlukan bimbingan emosi dan moral yang konsisten daripada ibu bapa.
“Jika nilai yang dibentuk dalam keluarga tidak sejajar dengan nilai kebangsaan, maka lahirlah generasi yang hanya mengenal Rukun Negara secara hafalan bukan penghayatan,” tegasnya.
Media: Ejen normalisasi nilai
Jika keluarga ialah ruang pertama pendidikan, media pula menjadi ruang normalisasi nilai dalam membentuk pandangan dan tingkah laku masyarakat.
“Apa yang ditonton, didengar dan dibaca masyarakat daripada berita arus perdana hinggalah video pendek di TikTok memberi kesan langsung terhadap cara seseorang melihat dunia.
“Justeru, media harus lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan kandungan yang memperkukuh nilai kenegaraan, etika sosial dan perpaduan.

“Program seperti Ikrar Perpaduan, dokumentari sejarah pembentukan Malaysia atau drama yang mengangkat toleransi antara kaum, semuanya menyumbang kepada penghayatan prinsip Rukun Negara secara halus tetapi berkesan,” ujarnya.
Sebaliknya, media yang hanya menyiarkan kandungan sensasi, toksik dan berunsur perpecahan berisiko melemahkan perpaduan.
“Dalam era media sosial, pengaruh influencer dan pencipta kandungan (content creator) sangat besar jika mereka menggunakan platform untuk menyebarkan mesej perpaduan, kesannya jauh lebih luas berbanding kempen formal kerajaan,” katanya.
Aaron menegaskan, kerajaan boleh menggubal dasar dan menyediakan platform pendidikan kenegaraan, tetapi penghayatan Rukun Negara tidak akan bermakna jika ia tidak diterjemahkan oleh rakyat dalam kehidupan seharian.

“Ibu bapa perlu menjadi model nilai murni kepada anak-anak, manakala media harus bertindak sebagai pencetus kesedaran dan penggerak budaya positif.
“Jika kedua-dua pihak ini gagal, nilai-nilai Rukun Negara akan terus terpinggir dan dilihat tidak relevan,” katanya.
Beliau menambah, pembinaan negara bangsa yang kukuh dan bersatu hanya boleh dicapai jika tanggungjawab itu dikongsi bersama.
“Rukun Negara bukan sekadar teks dihafal semasa perhimpunan, tetapi prinsip hidup yang perlu dihayati. Ia adalah amanah bersama bukan hanya di pihak kerajaan, tetapi semua rakyat Malaysia,” tegas beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


