AGAMARENCANA

Menghadapi ujian perkahwinan: Bila isteri merajuk dengan suami

PERKAHWINAN adalah ikatan suci yang dibina atas dasar cinta, kepercayaan dan tanggungjawab. Namun, tidak semua perjalanan rumah tangga berjalan lancar. Adakalanya, disebabkan beberapa perkara kecil, si isteri akan merajuk dan berasa hati dengan suami.

Rasa geram atau sakit hati pasti menguasai diri wanita yang memang fitrahnya penuh dengan emosi. Bagaimanapun, hakikatnya Islam mengajarkan umatnya agar memandang setiap ujian yang datang bersama hikmah yang tersembunyi.

Maka teruslah memohon kepada petunjuk daripada Allah agar diberikan panduan dalam mempertahankan kebahagiaan rumah tangga.

Setiap pasangan yang berkahwin perlu berusaha mencipta kebahagiaan bersama.

Artikel ini akan berkongsi beberapa tips praktikal dan panduan rohani bagi seorang isteri untuk mengharungi setiap dugaan dengan tabah, bijaksana, penuh kesedaran, kesabaran serta ketenangan.

Berikut adalah beberapa cara yang mungkin dapat membantu golongan isteri memujuk hati dan menghadapi sesuatu ujian dengan lebih baik:

1. Renungkan hikmah ujian
Setiap ujian yang kita hadapi ada hikmahnya. Cuba renungkan, mungkin ada sesuatu yang Allah ingin ajarkan kepada anda melalui situasi tersebut. Selain untuk menguji kesabaran serta ketabahan, mungkin ia juga adalah peluang untuk anda memperkuat hubungan dengan Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 155 yang bermaksud:

“Dan sungguh, Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”

2. Berbincang dengan suami secara tenang
Apabila emosi sudah tenang, carilah masa yang sesuai untuk berbincang dengan suami. Sampaikan perasaan anda dengan cara yang lembut dan penuh kasih sayang. Elakkan tuduh-menuduh, sebaliknya fokus pada bagaimana anda rasakan dan harapan anda dalam perhubungan.

Berusahalah menyelesaikan setiap masalah dalam rumah tangga dengan tenang dan rasional.

3. Fokus pada kebaikan suami
Dalam masa merajuk, mudah untuk kita hanya melihat keburukan pasangan. Justeru, cubalah untuk mengingat kembali kebaikan dan sifat positif suami yang membuat anda mencintainya. Ini dapat membantu melembutkan hati dan mengurangkan rasa marah atau kecewa.

4. Berdoa dan bertawakal
Doa adalah senjata orang mukmin. Mintalah kepada Allah supaya diberikan ketenangan hati dan supaya hubungan baik anda dan suami kembali. Bertawakal kepada Allah SWT. Letakkan sepenuh pergantungan kepada-Nya. Percayalah bahawa Dia mengetahui apa yang terbaik untuk anda dan Dia yang memegang hati-hati manusia.

5. Cari ketenangan dengan zikir dan ibadah
Ambil masa untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui solat, zikir, membaca Al-Quran serta memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW. Zikir, selawat dan ibadah dapat memberikan ketenangan dalam hati dan mampu membantu mengurangkan tekanan perasaan yang dialami.

Cari ketenangan dengan perbanyakkan zikir, membaca Al-Quran, berselawat serta memohon petunjuk dari-Nya.

6. Luangkan masa untuk diri sendiri
Kadang-kadang, sedikit masa untuk diri sendiri dapat membantu kita meredakan perasaan yang berkecamuk. Lakukan sesuatu yang anda nikmati seperti menulis, berjalan-jalan menikmati keindahan alam atau mendengar ceramah yang menenangkan hati.

Apa yang pasti, menghadapi ujian dalam hubungan suami isteri memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan. Semoga dengan langkah-langkah ini, hati anda lebih tenang dan hubungan dengan suami kembali harmoni dalam perjuangan untuk meraih syurga-Nya di akhirat kelak. Insya-Allah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button