BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Larangan media sosial bawah 16 tahun tumpu isu teknikal, mekanisme pelaksanaan – Fahmi

CYBERJAYA – Perbincangan berhubung cadangan mengehadkan penggunaan media sosial kepada pengguna berumur 16 tahun ke atas kini tertumpu kepada isu teknikal serta mekanisme pelaksanaan larangan itu.

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, semua platform media sosial telah memulakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung cadangan terbabit.

“Kita menjangkakan pelaksanaannya mungkin dalam tempoh beberapa bulan akan datang, namun tarikh tepat akan ditentukan sebelum saya membuat sebarang pengumuman,” katanya kepada RTM dan Bernama selepas menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Penerangan (JAPEN) di sini semalam.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata, terdapat beberapa platform lain yang pada asalnya tidak termasuk dalam kumpulan sasar, telah menyatakan kesediaan untuk terbabit secara sukarela.

“Saya merasakan belum masanya untuk menamakan platform-platform berkenaan, namun saya melihat ini sebagai satu usaha yang baik daripada pihak platform yang secara proaktif ingin memahami usaha kerajaan bagi memastikan Internet yang lebih selamat, khususnya untuk kanak-kanak,” katanya.

Baca juga : Semua platform media sosial mula bincang had umur 16 tahun dengan MCMC

Pada Disember tahun lalu, Fahmi menekankan keperluan pelaksanaan had umur 16 tahun untuk penggunaan media sosial bagi melindungi golongan kanak-kanak dan remaja daripada risiko dieksploitasi atau didedahkan kepada perkara yang tidak patut dalam talian.

Dalam hal tersebut, Australia dijadikan contoh apabila mula menguatkuasakan larangan penggunaan media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun, yang disifatkan sebagai yang pertama seumpamanya di dunia, dengan undang-undang telah berkuat kuasa sepenuhnya.

Kerajaan juga berhasrat melaksanakan pengesahan umur pengguna platform media sosial menerusi penggunaan tiga dokumen rasmi iaitu MyKad, pasport dan MyDigital ID.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button