MCMC perhebat penguatkuasaan bendung kandungan lucah dan buli siber
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperhebat kawal selia kandungan media sosial dan internet melalui tindakan penguatkuasaan berasaskan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta pindaan undang-undang terbaharu, termasuk Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866].
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, antara 1 Januari hingga 31 Julai 2025, sebanyak 2,693 permohonan telah dikemukakan kepada platform media sosial untuk menurunkan kandungan lucah dan sumbang dengan 2,368 kandungan berjaya diturunkan.

Selain itu, ujarnya, sebanyak 4,071 laman sesawang turut disekat kerana melanggar undang-undang.
“Pendekatan kawal selia menyeluruh ini bertujuan melindungi golongan rentan seperti kanak-kanak dan keluarga daripada pendedahan kepada kandungan memudaratkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah beliau, MCMC juga memperkenalkan keperluan pelesenan kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang kini diwajibkan memiliki Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) bagi memastikan setiap penyedia bertanggungjawab secara statutori mengurus kandungan dan operasi mereka di Malaysia.
Selain itu, pindaan Akta 588 yang berkuat kuasa pada 11 Februari lalu memperkukuh kerangka perundangan dengan hukuman lebih berat, khususnya bagi kesalahan yang melibatkan kanak-kanak bawah umur 18 tahun.
“Pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, termasuk denda harian tambahan jika kesalahan berterusan,” katanya.
Dalam isu buli siber, MCMC merekodkan 32,982 permohonan penurunan kandungan antara 1 Januari hingga 15 Ogos 2025, dengan 25,959 kandungan (79 peratus) berjaya diturunkan. Platform dengan jumlah tertinggi ialah TikTok, Facebook dan Tumblr.
“Kerajaan serius menangani ancaman buli siber melalui kerjasama erat bersama PDRM, penyedia platform serta berpaksikan aduan orang awam,” jelas Fahmi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








