Mayat Qaseh Deandra ditemukan 11km dari lokasi jatuh
KUALA LUMPUR – Mayat kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hanyut selepas terjatuh ke dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, ditemukan di Sungai Langat pada jarak kira-kira 11 kilometer dari lokasi kejadian, hari ini.
Mangsa, Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum, 9, ditemui sekitar jam 12.17 tengah hari oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang menjalankan operasi pencarian.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Syariman Wan Salleh berkata, mayat mangsa ditemukan ketika operasi menyusuri Sungai Langat menggunakan bot.
“Mayat mangsa berjaya ditemui oleh anggota PPDA yang melakukan pencarian di kawasan sungai.
“Pengecaman telah dibuat oleh ibu bapa mangsa di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kajang untuk proses bedah siasat.
Sebelum itu, mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam longkang ketika cuba mengambil bola sebelum dihanyutkan arus deras, sekali gus mencetuskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan pelbagai agensi.
Operasi yang memasuki hari kedua itu mendapat perhatian orang ramai susulan usaha berterusan pasukan penyelamat mengesan mangsa di sepanjang laluan aliran air.
Penemuan mangsa sekali gus merungkai kebimbangan keluarga selepas lebih 12 jam operasi dijalankan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








