BERITA SEMASADALAM NEGERI

Maritim Malaysia lancar Op Tanjung 2 bendung pencerobohan nelayan asing

PULAU PINANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melancarkan Operasi Khas Op Tanjung 2 Siri 1/2026 bagi memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara, khususnya di kawasan Selat Melaka Utara yang sering berdepan ancaman pencerobohan nelayan asing.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, operasi khas itu dilaksanakan bagi membendung aktiviti pencerobohan nelayan asing serta sebarang gangguan kuasa luar, khususnya dari negara jiran.

Menurut beliau, bagi memastikan keberkesanan operasi, Maritim Malaysia menggerakkan 14 kapal dan 29 bot daripada Maritim Negeri Pulau Pinang serta beberapa Maritim Negeri lain secara berfasa dan berjadual bagi menjamin kehadiran berterusan aset penguatkuasaan di kawasan operasi.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan rondaan berterusan, kehadiran fizikal aset di laut dirasai serta tindak balas pantas terhadap sebarang ancaman keselamatan maritim,” katanya sebelum menyempurnakan Pelancaran Operasi Khas Op Tanjung 2 Siri 1/2026 di sini, hari ini.

Baca juga : Maritim Malaysia tahan dua bot nelayan Indonesia tangkap ikan tanpa permit

Pada majlis tersebut, kira-kira 40 pegawai dan anggota Maritim Negeri Pulau Pinang termasuk pegawai guna sama turut hadir sebagai simbol komitmen berterusan pasukan dalam menjayakan operasi berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Maritim Malaysia yang terlibat secara langsung dalam Operasi Khas Op Tanjung sejak ia mula dilancarkan pada 1 Februari 2021, selain menghargai peranan Maritime Operation Command Center (MOCC) Maritim Negeri Pulau Pinang sebagai pusat penyelarasan utama operasi.

Sementara itu, beliau memaklumkan Operasi Khas Op Tanjung Bil. 1/2021 masih diteruskan sehingga kini di perairan Selat Melaka Utara sebagai usaha berterusan mengekang pencerobohan dan melindungi kepentingan negara.

Bagi operasi kali ini, Ketua Gugus Tugas (KGT) dilantik dalam kalangan kepimpinan kanan Maritim Malaysia iaitu Pengarah Bahagian Operasi Udara, Laksamana Pertama Maritim Ragu a/l Sundarajan; Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang selaku MOCC, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli serta Pengarah Maritim SWASLA Lumut, Perak, Kapten Maritim Aidil Adzhar Salleh.

Selain itu, Gugus Tugas (GT) pula melibatkan Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa; Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob serta Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh.

Selain rondaan di laut, operasi ini turut disokong dengan pemantauan udara secara berkala menggunakan pesawat Maritim Malaysia bagi meningkatkan keupayaan pengesanan awal, memantau pergerakan VNA serta memperkukuh tindakan penguatkuasaan di laut secara lebih menyeluruh dan berkesan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button