BERITA SEMASA

Malaysia peneraju kempen global bela Gaza menerusi Sumud Nusantara 2026

SEPANG – Malaysia terus memainkan peranan sebagai penggerak utama solidariti kemanusiaan global bagi Palestin apabila menerajui pelaksanaan Kempen Utama Sumud Nusantara 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kempen itu disifatkan sebagai usaha bersepadu terbesar membela Gaza setakat ini.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) menegaskan, kempen berskala besar itu mencerminkan peningkatan kesedaran antarabangsa apabila penyertaan negara melonjak kepada 100 buah berbanding hanya 44 negara sebelum ini.

“Membela Palestin adalah ‘signature’ atau identiti kita sebagai sebuah negara kecil yang sentiasa mempunyai jiwa yang besar dalam isu kemanusiaan global.

“Oleh itu, kami mengajak seluruh warga Malaysia, tanpa mengira perbezaan bangsa, agama mahupun latar belakang politik untuk kita bersatu.

“Kempen ini bukan sekadar penghantaran bantuan, tetapi merupakan bukti bahawa solidariti tanpa sempadan mampu menggerakkan dunia untuk menolak sebarang bentuk kezaliman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, misi berkenaan digerakkan oleh gabungan organisasi di bawah MAPIM bersama beberapa NGO lain termasuk Cinta Gaza Malaysia, Cinta Salam Malaysia, Yayasan Mawardah, Centhra dan MyAqsa Defender.

Ia dirangka secara strategik melalui lima fasa utama bagi memastikan bantuan sampai ke Gaza melalui pelbagai saluran.

sumud flotilla
Misi GSF 2.0 akan turut melibatkan pelayaran armada 70 kapal dari pelbagai negara. – Foto Fail Facebook Sumud Nusantara Official

Antaranya ialah penghantaran 30 kontena bantuan kritikal melalui laluan darat dengan kerjasama kerajaan Malaysia dan Mesir, selain pelaksanaan sidang media di pintu sempadan Rafah sebagai mesej diplomatik kepada dunia.

Selain itu, misi GSF 2.0 melibatkan pelayaran armada 70 kapal dari pelbagai negara yang dijangka bertambah seiring sokongan antarabangsa.

Kempen tersebut turut merangkumi penganjuran World Sumud Parliamentary Inaugural Congress di Brussels bagi meningkatkan tekanan politik di Eropah, serta tindakan perundangan melalui pemfailan aduan rasmi di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Dari segi kepimpinan, tokoh kemanusiaan Nadir Al-Nuri dilantik sebagai Chef de Mission Sumud Nusantara, manakala misi keseluruhan diterajui oleh Sani Araby sebagai Pengarah Misi.

Malaysia turut menzahirkan komitmen tinggi apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak sebagai penaung utama, sekali gus menjadikan negara ini antara yang terawal memberikan sokongan rasmi secara kolektif.

Sehingga kini, seramai 1,000 peserta telah mengesahkan penyertaan melibatkan pelbagai peranan termasuk krew kapal, kapten, pasukan perubatan dan pengamal media.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, turut ditugaskan mengetuai misi ke Mesir bagi penghantaran bantuan serta mewakili Malaysia dalam pelepasan delegasi di Barcelona.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button