Keputusan rayuan Malaysia batal Award Akhir Sulu ditangguh Disember ini
KUALA LUMPUR – Keputusan berhubung permohonan Malaysia bagi membatalkan Award Akhir berjumlah AS$14.9 bilion yang dikemukakan kumpulan Sulu ditangguhkan oleh Mahkamah Rayuan Paris ke 9 Disember ini.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, penangguhan itu dibuat selepas prosiding merit permohonan pembatalan berkenaan dimuktamadkan pada 7 Julai lalu.
Jelas beliau, semasa perbicaraan berlangsung, pihak yang menuntut cuba memohon penangguhan untuk memberikan maklum balas terhadap pandangan bertulis yang dikemukakan oleh pendakwa raya Perancis, namun mahkamah telah menolak permintaan tersebut dan meneruskan prosiding seperti dijadualkan.
“Dalam konteks ini, Malaysia meletakkan keyakinannya terhadap proses dan keputusan Mahkamah Rayuan Paris dalam membawa pengakhiran muktamad terhadap tuntutan kumpulan Sulu sama seperti pendirian mahkamah Sepanyol dan Belanda,” katanya lapor BH Online.
Kerajaan turut menegaskan pendiriannya bahawa ketelusan dalam pembiayaan litigasi oleh pihak ketiga perlu diberikan perhatian serius bagi mengelakkan ia menjadi alat pemaksaan terhadap negara berdaulat.
“Malaysia pada masa sama terus memperjuangkan pembangunan satu kerangka global yang meletakkan ketelusan sebagai teras utama dalam pembiayaan litigasi oleh pihak ketiga, bagi memastikan satu mekanisme yang bertujuan untuk menggalakkan akses kepada keadilan tidak disalahgunakan sebagai instrumen undang-undang terhadap negara yang berdaulat.
“Timbang tara antarabangsa mesti dilindungi daripada cubaan memeras ugut negara berdaulat dengan menyamar di sebalik tuntutan timbang tara,” katanya lagi.
Dalam hal ini, tegas beliau, Kerajaan MADANI sentiasa komited dan teguh dalam mempertahankan kedaulatan negara serta memastikan integriti sistem timbang tara antarabangsa terus dipelihara.
Untuk rekod, prosiding timbang tara tersebut dimulakan oleh lapan individu warga Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang telah lama tidak wujud, bagi menuntut pampasan berbilion dolar berkaitan isu Sabah.
Pada Mac 2019, Mahkamah di Madrid telah melantik Dr Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara dalam kes tersebut, namun Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid membatalkan pelantikan itu pada tahun 2021.
Bagaimanapun, pada 28 Februari 2022, Stampa tetap mengeluarkan Award Akhir bernilai AS$14.9 bilion yang berpihak kepada kumpulan Sulu, meskipun timbang tara berkenaan tidak sah dari sudut perundangan.
Malaysia sebelum ini berjaya meraih beberapa kemenangan penting dalam siri kes berkaitan tuntutan kumpulan itu, termasuk pada November tahun lalu apabila Mahkamah Agung Perancis menolak sepenuhnya cabaran perundangan kumpulan terbabit.
Kejayaan tersebut memberi impak besar kerana ia menolak asas utama yang membawa kepada keputusan Award Akhir, sekali gus mengesahkan bahawa Malaysia tidak perlu membayar pampasan seperti yang dituntut kerana keputusan itu tidak diiktiraf di bawah undang-undang Perancis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








