BERITA SEMASA

Penggantungan perkhidmatan Malaysia Airlines laluan Doha dilanjutkan sehingga 20 Mac

KUALA LUMPUR – Penggantungan sementara perkhidmatan Malaysia Airlines bagi laluan Doha dilanjutkan sehingga 20 Mac 2026 susulan perkembangan berterusan melibatkan persekitaran keselamatan di negara terbabit.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat induk Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group (MAG) memaklumkan syarikat penerbangan itu terus memantau rapat situasi tersebut melalui penilaian risiko berterusan serta Notis kepada Juruterbang (NOTAM) yang berkaitan sebelum menyambung kembali operasi.

“Syarikat penerbangan itu juga meningkatkan kapasiti pesawat berbadan lebar antara Asia dan Eropah untuk menyokong perjalanan seterusnya serta menyatukan semula ahli keluarga, dengan penerbangan beroperasi melalui laluan alternatif yang dirancang dengan teliti bagi mengelakkan kawasan yang terjejas,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, perkhidmatan bagi laluan Doha digantung bermula 28 Februari 2026 berikutan penutupan ruang udara yang menjejaskan negara itu akibat konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Dalam pada itu, semua perkhidmatan lain oleh syarikat penerbangan negara tersebut, termasuk laluan Jeddah, Madinah, London dan Paris, terus beroperasi seperti yang dijadualkan.

“Keselamatan penumpang dan anak kapal kekal sebagai keutamaan tertinggi kami,” tambah MAG.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button