Majoriti penduduk Kampung Sungai Baru setuju pembangunan semula
KUALA LUMPUR – Seorang penduduk Kampung Sungai Baru, Ishaq Marazi berkata, majoriti pemilik hartanah di kawasan tersebut telah bersetuju dengan projek pembangunan semula yang kini hangat diperkatakan.
Menurut beliau, keputusan untuk bekerjasama dengan pemaju bukan sesuatu yang tergesa-gesa, sebaliknya telah dipersetujui sejak beberapa tahun lalu selepas melalui siri perbincangan dan perbincangan bersama penduduk.

“Saya orang ke-230 yang menandatangani dokumen persetujuan. Walaupun agak lambat, saya mahu lihat dahulu pendirian majoriti. Pada sekitar 2018–2019, hampir 70 peratus daripada 329 pemilik sudah menandatangani,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ishaq berkata, kerajaan kemudian menggunakan Akta Pengambilan Tanah pada 2021 untuk merealisasikan projek tersebut selepas persetujuan majoriti dicapai.
“Penduduk sebenarnya sudah mula berbincang untuk memajukan hartanah sejak 2016 lagi, selepas melihat kejayaan pembangunan semula Flat Kerinchi menjadi Kerinchi Residence,” katanya lagi.

Ishaq turut berkata, pampasan yang ditawarkan dalam bentuk unit kondominium baharu adalah lebih menguntungkan berbanding kediaman lama.
“Setiap pemilik akan menerima dua unit kondominium, satu untuk didiami dan satu lagi boleh disewakan.

“Sewa kondominium di kawasan sekitar mampu mencecah RM2,000 hingga RM2,500 sebulan, jauh lebih tinggi berbanding flat lama yang hanya sekitar RM800 hingga RM1,200,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan bantahan segelintir pihak sebagai tindakan yang boleh menjejaskan masa depan lebih 300 pemilik lain yang menunggu projek ini diteruskan.
“Kesian makcik pakcik yang sudah lebih empat hingga lima tahun tinggal di rumah transit.
“Mustahil projek ini dibatalkan kerana hampir 70 peratus rumah dan flat lama sudah dirobohkan. Apa yang penting kini adalah memastikan pemaju menunaikan janji,” katanya lagi.

Ishaq dalam hantaran itu turut meminta agar semua pihak tidak terpengaruh dengan provokasi yang boleh menggagalkan projek berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






