Lima anggota renjer Thailand terbunuh dalam serangan di Narathiwat
NARATHIWAT – Lima anggota renjer Thailand dilaporkan terbunuh manakala lima orang awam, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, cedera dalam serangan bersenjata di sebuah pos kawalan keselamatan di wilayah Narathiwat, semalam.
Menurut The Bangkok Post, serangan berlaku kira-kira pukul 6.45 petang waktu tempatan di pos kawalan Buketa Sami, daerah Tanyong Mat, Ra-ngae yang dikendalikan Kompeni Renjer 4509.
Enam lelaki berpakaian serba hitam dipercayai tiba di lokasi dengan menaiki sebuah pikap Nissan empat pintu berwarna hitam sebelum melepaskan tembakan bertubi-tubi dan membaling bom paip ke arah anggota yang sedang bertugas.
Lima anggota renjer yang berada di pos kawalan itu disahkan maut di lokasi kejadian.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kenderaan yang dinaiki enam suspek beberapa saat sebelum serangan dilancarkan.
Selepas melakukan serangan, kumpulan terbabit melarikan diri menggunakan pikap yang sama melalui Lebuhraya 4055 dari Tanyong Mat menuju ke daerah kecil Dusong Yo.
Pasukan keselamatan kemudian mengepung kawasan kejadian bagi menjalankan pemeriksaan forensik serta mengumpulkan bahan bukti, manakala siasatan bagi mengenal pasti dalang serangan sedang diteruskan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











