LIMA 2025 bermula esok, terima penyertaan 860 pempamer antarabangsa
LANGKAWI – Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 membuka tirai secara rasmi esok, dengan penyertaan luar biasa melibatkan 860 pempamer dari dalam dan luar negara serta 140 delegasi rasmi dari 46 buah negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, segala persiapan akhir bagi penganjuran acara dwitahunan itu berjalan lancar dan teratur, hasil kerjasama pelbagai agensi serta komitmen tinggi semua pihak terlibat.
“Pagi tadi, saya berkesempatan mengadakan sesi tinjauan atau ‘walkabout’ bagi menilai sendiri persiapan akhir LIMA 2025. Alhamdulillah, saya dapati setiap komponen utama pameran telah disediakan dengan rapi,” katanya menerusi satu kenyataan selepas lawatan tersebut.
Menurut beliau, antara yang turut hadir dalam sesi tinjauan itu ialah Menteri Kewangan II merangkap Pengerusi Bersama Lembaga Pembangunan Langkawi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang mewakili Perdana Menteri.
Khaled menegaskan LIMA bukan sekadar pameran ketenteraan, tetapi platform strategik yang merangkumi pelbagai aspek pembangunan dan diplomasi pertahanan.
“LIMA adalah medan penting untuk mengetengahkan keupayaan industri pertahanan tempatan, selain berfungsi sebagai ‘marketplace’ pertahanan antarabangsa dan platform pertukaran kepakaran serta teknologi.
“Lebih daripada sekadar pertunjukan udara dan maritim, LIMA membawa misi diplomatik serta membuka ruang kepada kerjasama antara negara dalam bidang keselamatan serantau,” tambahnya.
Acara tahun itu dimeriahkan dengan penyertaan pasukan aerobatik dari Rusia dan Indonesia, selain pameran statik dan pertunjukan udara serta maritim melibatkan pelbagai aset pertahanan dari dalam dan luar negara.
“LIMA 2025 merupakan bukti komitmen kerajaan dalam merancakkan sektor pertahanan serta menyokong agenda pembangunan industri tempatan.
“Kita mahu pastikan aset-aset pertahanan keluaran tempatan mendapat perhatian dan pengiktirafan sewajarnya di peringkat antarabangsa. LIMA menjadi pentas penting untuk mempromosikan keupayaan kita sendiri,” katanya.
Beliau menyuarakan harapan agar LIMA 2025 dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
“Insya-Allah, dengan penyertaan yang begitu menggalakkan tahun ini, saya percaya LIMA 2025 akan menjadi penganjuran yang bukan sahaja berjaya, malah berimpak tinggi kepada negara,” ujarnya.
Pameran LIMA 2025 akan berlangsung dari 20 hingga 24 Mei, menjadikan Langkawi pusat tumpuan industri pertahanan dan keselamatan serantau serta antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








