BERITA SEMASA

Dr. Siti Khadijah fasih empat bahasa termasuk Russia

LANGKAWI – Kefasihan seorang pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertutur dalam bahasa Russia menarik perhatian ramai hingga video itu tular ketika berlangsungnya Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) baru-baru ini.

Melalui perkongsian pemilik akaun TikTok @belengas369, Leftenan Kolonel Dr. Siti Khadijah Abdul Hamid dilihat rancak bersembang dengan seorang juruterbang dari Russia.

Kefasihan Dr. Siti Khadijah berbual dalam bahasa Russia mengundang kekaguman netizen.

Dr. Siti Khadijah yang merupakan pakar perubatan kecemasan di Institut Perubatan Penerbangan, Pangkalan Udara Subang berkata, video tersebut dirakam ketika dia bertemu dengan juruterbang pasukan Russian Knights semasa bertugas di LIMA’25.Bagaimanapun, katanya ia hanya perbualan biasa.

“Dia bertanya, adakah saya seorang penterjemah? Saya jawab bukan. Saya seorang doktor.

“Kemudian dia memperkenalkan namanya sebagai Sergei dan saya pun beritahu nama saya. Tidak sangka pula gelagat kami dirakam seorang anggota ATM yang bertugas di situ,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Dr. Siti Khadijah memberitahu, dia mula mempelajari bahasa Russia ketika menuntut di Crimea State Medical University, Simferopol, Crimea antara tahun 2003 hingga 2009.

Katanya, sebagai penuntut dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Perubatan, bahasa itu perlu dikuasai memandangkan ia satu keperluan dalam pengajian.

“Kami perlu berkomunikasi dalam bahasa Russia dengan pesakit mahupun ketika berurusan dengan peniaga pasar dan orang tempatan.

“Walaupun sukar namun saya berjaya menguasainya dalam tempoh setahun,” jelasnya.

Selain bahasa Russia, Dr. Siti Khadijah juga fasih berbahasa Inggeris dan Mandarin.

“Tidak rugi belajar bahasa asing, ia satu nilai tambah terutama boleh membina ‘contact’ dan menyenangkan urusan seharian bahkan di tempat kerja,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button