BERITA SEMASA

Liga Super: Penang FC tamatkan badi kekalahan, tewaskan Sri Pahang 3-2

GEORGETOWN – Selepas tujuh kekalahan pasukan Penang FC akhirnya bangkit dengan menewaskan Sri Pahang FC dengan keputusan 3-2 di Stadium Bandaraya sebentar tadi.

Penang FC yang ketinggalan dua kali kepada Sri Pahang berjaya menyamakan kedudukan kepada 2-2 sebelum pemain yang pertama kali beraksi dalam Liga Super, Izzat Fikri menjaringkan gol pada minit ke-70 perlawanan dengan satu sepakan ‘volley’ yang terus menewaskan penjaga gol pelawat, Izham Tarmizi.

Terdahulu, Rafael Silva meletakkan Sri Pahang di hadapan pada minit ke-20. Gol terhasil menerusi tolakan mudah melepasi penjaga gol, Haziq Mukhriz Mohamed Hasemuddin.

Kegembiraan pasukan pelawat tidak lama apabila penyerang import Penang FC Abdul Abdeen menyamakan kedudukan selang enam minit kemudian.

Pasukan pelawat sekali lagi berada di hadapan menerusi Syazwan Andik pada minit ke-62 namun Abdul Abdeen sekali lagi menyamakan kedudukan dengan jaringan pantas dua minit kemudian.

Kemenangan ini sekali gus memberikan tonik berharga buat skuad Harimau Kumbang selepas merehatkan ketua jurulatih, Chong Yee Fat dan pembantunya Manzoor Azwira, sambil berharap jurulatih skuad belia, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mampu mengakhiri kemarau kemenangan mereka sejak Julai lalu.

Sementara Tok Gajah terpaksa berpuas hati dengan kedudukan kelima liga selepas terlepas peluang untuk mengejar Sabah FC yang menduduki kedudukan empat teratas liga manakala Penang FC pula di tangga ke-10 dengan 23 mata.

Kedua-dua pasukan selepas ini bakal berdepan tugas sukar dengan Tok Gajah bakal melayan kunjungan juara liga, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) pada 3 Disember manakala Penang FC pula akan berdepan finalis Piala Malaysia 2023, Terengganu FC pada 3 Disember.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button