Letupan meteor gegar timur laut Amerika Syarikat
BOSTON – Penduduk di beberapa kawasan timur laut Amerika Syarikat (AS) gempar selepas satu dentuman kuat menggegarkan rumah dan bangunan pada Sabtu, sebelum disahkan berpunca daripada meteor yang meletup di atmosfera bumi.
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) memaklumkan, bebola api itu pecah di ruang udara timur laut Massachusetts dan tenggara New Hampshire sekitar pukul 2.06 petang waktu tempatan.
Menurut NASA, meteor berkenaan bergerak pada kelajuan lebih 120,000 kilometer sejam sebelum meletup pada ketinggian 64 kilometer dari permukaan Bumi.
Agensi berita antarabangsa melaporkan letupan itu menghasilkan tenaga menyamai kira-kira 300 tan TNT sehingga menyebabkan bunyi dentuman kuat kedengaran di beberapa negeri sekitar kawasan terbabit.
Malah, pengguna media sosial turut berkongsi rakaman kamera keselamatan dan pengalaman mereka selepas rumah serta tingkap dikatakan bergegar akibat letupan tersebut.
Timbalan Ketua Berita NASA, Jennifer Dooren berkata, objek itu adalah meteor semula jadi.
“Bebola api ini tidak dikaitkan dengan mana-mana hujan meteor yang sedang aktif, tetapi ia adalah objek semula jadi dan bukan kemasukan semula serpihan angkasa lepas atau satelit.
“Tenaga yang dibebaskan semasa ia pecah dianggarkan setara dengan kira-kira 300 tan TNT, yang menyumbang kepada dentuman kuat itu,” katanya.
Pihak berkuasa bagaimanapun tidak menerima laporan kerosakan besar atau kecederaan akibat kejadian berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








