Lelaki warga emas rentung dalam kereta terbakar di Pantai Sungai Lurus
BATU PAHAT – Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung di dalam kereta yang terbakar di Pantai Sungai Lurus, Senggarang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit mengenai penemuan mayat di tempat duduk pemandu kenderaan berkenaan.
Beliau berkata, siasatan awal Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bersama pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor mendapati rangka terbabit dipercayai lelaki tempatan berusia 72 tahun.
“Bagaimanapun, pengesahan identiti akan dilakukan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA). Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan.
Shahrulanuar turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Balai Polis Senggarang, Sub Inspektor Abriza Yaakub di talian 019-7275995 atau hadir ke balai polis berdekatan.
Sementara itu, Komander Operasi Kanan BBP Rengit, Norhisam Abdul Talib berkata, laluan sempit menyebabkan jentera bomba tidak dapat memasuki lokasi kejadian, memaksa anggota menggunakan motosikal orang awam.
“Tindakan awal operasi dilakukan dengan mengangkut air sungai berhampiran menggunakan baldi sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








