Lelaki mengamuk libas pisau ke arah polis
KUALA LANGAT – Suasana tenang di sebuah restoran makanan laut di Telok Mengkuang, di sini, bertukar cemas apabila seorang lelaki bertindak agresif dengan melibas senjata ke arah anggota polis dalam kejadian kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 3.30 petang daripada anggota MPV Sektor 4 Telok Panglima Garang.
Menurutnya, susulan maklumat tersebut, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Sebaik tiba di lokasi, polis mendapati seorang lelaki tempatan bertindak agresif dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging dan sebatang rotan.
“Siasatan awal mendapati suspek telah memecahkan pelbagai barangan di sebuah restoran makanan laut di Jalan Pandan 2, Telok Mengkuang,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, suspek turut merosakkan tiga kenderaan milik orang awam yang berada di sekitar kawasan berkenaan.
“Malah, suspek bertindak lebih ganas apabila melibaskan senjata ke arah anggota polis serta kenderaan MPV sehingga mengancam keselamatan pihak berkuasa dan orang awam.
“Hasil tindakan pantas dan cekap anggota di lokasi, suspek berjaya ditahan,” katanya.
Menurutnya, suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk pemeriksaan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 353 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial memaparkan seorang lelaki bertindak mengejar serta mengacu senjata dipercayai pisau ke atas anggota polis di sebuah restoran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







