JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki didakwa ganggu isteri orang cedera dipukul beramai-ramai

SUBANG JAYA – Gara-gara dituduh mengganggu isteri orang, seorang lelaki cedera selepas dipercayai dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki di Medan Selera Puchong Permai, di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang ketika mangsa menyapa seorang kenalannya sebelum tiba-tiba ditolak individu tidak dikenali.

“Secara tiba-tiba, datang beberapa lelaki menolak mangsa dan salah seorang daripada mereka dalam keadaan marah menuduh lelaki itu cuba mengganggu isterinya.

“Kemudian, mangsa dipukul oleh lebih kurang 10 lelaki menggunakan tangan menyebabkan mangsa bengkak di bahagian muka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan kejadian, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Subang Jaya menahan empat individu berusia lingkungan 18 hingga 35 tahun, pukul 1 pagi, hari ini.

Soal siasat mendapati, suspek terbabit mengaku terbabit dalam kejadian itu dan permohonan reman dipohon hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

“Bagaimanapun, permohonan reman ke atas kesemua suspek yang diwakili peguam ditolak berikutan mangsa sudah menarik semula laporan yang dibuat.

“Namun, kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan seterusnya,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh disalurkan di talian 03-7862 7222 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Khairulazizi Ismail di talian 019-281 7820.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button