Lebih 1.5 juta jemaah haji selesai tiba di Mina, bersedia untuk wukuf di Arafah
MINA – Lebih 1.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia tiba di Mina semalam bagi melaksanakan ibadah Hari Tarwiyah sebagai persediaan menuju kemuncak ibadah haji iaitu wukuf di Arafah hari ini.
Menurut laporan Saudi Gazette, pergerakan jemaah ke Mina berjalan lancar hasil pemantauan dan kawalan pelbagai agensi keselamatan, kesihatan serta perkhidmatan haji Arab Saudi.
Pihak berkuasa haji Arab Saudi memaklumkan semua agensi berkaitan digerakkan sepenuhnya untuk menerima ketibaan jemaah dan memastikan bantuan serta kemudahan disediakan dengan baik di khemah penginapan masing-masing.
Hari Tarwiyah merupakan antara fasa penting dalam ibadah haji apabila jemaah bermalam dan beribadah di Mina sebelum bergerak ke Padang Arafah pada 9 Zulhijjah untuk menunaikan wukuf, iaitu rukun haji yang paling utama.
Sejak Isnin lalu, jemaah mula memenuhi kawasan perkhemahan di Mina bagi melaksanakan ibadah tersebut dalam suasana tenang dan penuh kerohanian.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi turut memantau ketibaan jemaah menerusi pasukan lapangan dan pusat operasi termasuk memastikan aspek penginapan, makanan, khidmat bimbingan serta bantuan sokongan lain berada pada tahap terbaik.
Pada masa sama, pusat Nusuk Care terus membantu jemaah di Mekah dan tanah suci melalui 38 pusat operasi serta lebih 160 lokasi perkhidmatan.
Pasukan petugas yang boleh berkomunikasi dalam lebih 11 bahasa itu dilaporkan telah menyediakan lebih 180,000 perkhidmatan termasuk bantuan panduan, sokongan penterjemahan, pengendalian aduan dan bantuan kemanusiaan.
Dalam perkembangan sama, ribuan jemaah turut menunaikan solat fardu di Masjid Al-Khaif dalam suasana aman dan penuh ketenangan dengan kemudahan yang disediakan pihak berkuasa Arab Saudi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















