Kutipan tabung Musa’adah capai sasaran, Hajah Asmah akan dibawa pulang
KUALA LUMPUR – Harapan untuk membawa pulang jemaah haji, Asmah Mansor, 71, yang dirawat di sebuah hospital di Mekah semakin hampir menjadi kenyataan selepas Tabung Musa’adah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Waqaf Malaysia berjaya mencapai sasaran dalam tempoh singkat.
Kutipan yang sebelum ini dilancarkan bagi menampung kos rawatan dan untukj membawa pulang jemaah berkenaan ditutup serta-merta pada pukul 11 pagi hari ini selepas jumlah terkumpul mencecah RM372,222.66.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, kejayaan kutipan itu disokong oleh sikap murah hati luar biasa rakyat Malaysia yang segera tampil membantu tanpa mengira latar belakang.
“Dengan semangat ukhwah yang ditunjukkan rakyat, tabung ini berjaya mencapai jumlah diperlukan. Bakinya akan ditanggung oleh agensi agama termasuk Lembaga Tabung Haji (TH) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau berkata TH telah diarahkan untuk menguruskan segera semua urusan berkaitan membawa pulang Asmah dari Mekah, termasuk kerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi dan Kedutaan Malaysia.
Mohd. Na’im turut menzahirkan penghargaan kepada penyumbang individu, pertubuhan serta badan korporat yang menunjukkan solidariti tinggi terhadap nasib jemaah berkenaan.

“Kesatuan dan sifat ihsan rakyat Malaysia benar-benar menyerlahkan nilai perpaduan Malaysia Madani,” ujarnya sambil mendoakan ganjaran dan kemudahan urusan buat semua penyumbang.
Asmah merupakan jemaah terakhir musim haji 1446H yang masih berada di Arab Saudi selepas dimasukkan ke Saudi German Hospital, Mekah, sejak 13 September lalu akibat pneumonia dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Beliau difahamkan sempat menyempurnakan ibadah haji sebelum keadaan kesihatannya merosot secara mendadak dan kini menunggu proses untuk dibawa pulang ke tanah air.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








