JIMBA Finale 2025 Andalusia tarik lebih 11,000 peserta
KUALA LUMPUR – Program JIMBA Finale 2025 anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. sempena ulang tahun ke-23 syarikat itu mencipta kemeriahan tersendiri apabila lebih 11,000 peserta hadir secara fizikal di seluruh cawangan Andalusia di seluruh negara, manakala penyertaan keseluruhan mencecah lebih 17,000 orang.
Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, penghujung tahun bukan sekadar penutup kalendar, sebaliknya menjadi ruang membina azam baharu untuk terus memelihara amanah dan memartabatkan khidmat kepada jemaah.
“Apabila jam berdetik meninggalkan 2025 malam ini, saya mahu kita semua bawa satu azam baharu, satu azam bersama-sama bahawa kita semua tidak akan jadi biasa-biasa dan tidak akan berkompromi dengan amanah sehingga 30 hingga 50 tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program JIMBA Finale 2025 yang berlangsung di Darul Muttaqin Home di ibu negara, baru-baru ini.
Kemuncak acara menyaksikan peserta dari Gua Musang, Kelantan, Rakiah Sulaiman diumumkan sebagai pemenang utama cabutan bertuah Bonanza JIMBA, sekali gus membawa pulang hadiah istimewa berupa sebuah kereta BYD Sealion 7.
Program tersebut bukan sahaja menjadi medan meraikan pencapaian syarikat, malah berfungsi sebagai platform menyatukan jemaah dalam semangat kebersamaan serta amanah dalam perkhidmatan kepada tetamu Allah.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran dan perasmian Majalah AndalusiaKu 1448H (2026/2027) oleh Ida Riswana bersama Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin.
Menurut Ida Riswana lagi, usaha pengembangan Andalusia perlu berpaksikan niat yang betul serta tekad untuk menyantuni para jemaah, di samping berani berfikir lebih besar demi kebaikan umat.
“Kita tidak akan takut untuk sentiasa berfikir lebih besar daripada ini asalkan niat kita betul untuk menyantuni duyufur Rahman. Insya-Allah kita percaya apa yang kita bawa ini adalah untuk kebaikan umat,” katanya.
Beliau turut menyuarakan hasrat untuk melihat umat Islam tampil lebih megah, bangga dan gagah dalam sektor perniagaan, khususnya industri pelancongan umrah yang semakin mencabar di peringkat global.
“Saya ingin melihat umat Islam megah, bangga dan gagah di persada perniagaan. Bukti kejayaan kami adalah kerana sokongan daripada anda semua,” katanya.

Mengulas lanjut, Ida Riswana berkata, Andalusia turut merancang memperkenalkan kiosk layan diri secara berperingkat bermula 2026 bagi memudahkan urusan pelanggan termasuk pembelian pakej umrah dan pelancongan.
“Kiosk ini akan ditempatkan di lokasi awam dan kita akan mulakan secara berfasa bermula di Lembah Klang,” katanya.
Menurutnya, penggunaan kiosk berkenaan memberi kepuasan kepada pelanggan yang mahu menguruskan pembayaran serta cetakan resit secara fizikal, dengan pelancaran berpotensi seawal suku pertama 2026 selepas ujian di ibu pejabat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








