BERITA SEMASALUAR NEGARA

Tragedi kebakaran ragut lapan nyawa di Ho Chi Minh City

HO CHI MINH CITY – Seramai lapan individu, termasuk dua kanak-kanak, maut dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah blok pangsapuri di Do Doc Long Street, lewat malam semalam.

Kejadian berlaku sekitar pukul 10 malam apabila api dipercayai bermula dari sebuah unit di tingkat bawah Blok A, Kompleks Pangsapuri Doc Lap, di Ward Phu Tho Hoa.

Api dilaporkan merebak pantas ke tingkat atas, menyebabkan ramai penghuni terperangkap di dalam bangunan.

Keadaan menjadi semakin kritikal apabila asap tebal memenuhi laluan tangga dan menyukarkan usaha menyelamat diri.

“Keadaan masa itu kelam-kabut. Kami hanya sempat lari keluar sehelai sepinggang,” kata seorang penduduk yang tinggal berhampiran lokasi kejadian.

Cubaan awal beberapa penduduk memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api mudah alih tidak berhasil kerana api marak dengan cepat.

“Laluan keluar yang sempit serta pintu pagar besi yang berkunci turut menyukarkan pasukan penyelamat memasuki kawasan bangunan yang terbakar,” jelasnya.

Susulan itu, pasukan Bomba dan Penyelamat Bandar Ho Chi Minh segera menggerakkan beberapa jentera serta puluhan anggota ke lokasi.

“Operasi memadam api dijalankan dalam keadaan mencabar sebelum api berjaya dikawal selepas beberapa jam.

“Lapan mangsa, termasuk dua kanak-kanak, disahkan maut. Empat daripadanya dihantar ke Hospital Thong Nhat, manakala empat lagi ke Hospital Tan Phu,” ujarnya.

Selain kehilangan nyawa, kebakaran turut menyebabkan beberapa buah motosikal, basikal dan sebuah kereta musnah.

Kawasan kejadian kini ditutup kepada orang awam bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Susulan insiden itu, Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Hoa Binh, mewakili Perdana Menteri Pham Minh Chinh, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkesan.

“Pihak berkuasa tempatan diminta segera hulurkan bantuan sewajarnya dan mengambil tindakan tegas jika wujud sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Jawatankuasa Rakyat Bandar Ho Chi Minh turut diarahkan untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Keselamatan Awam bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh serta tindakan susulan diambil segera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button