BERITA SEMASA

Lapan dari 16 rakyat Malaysia terlibat insiden gelora udara sudah pulang ke tanah air

SHANGHAI – Lapan daripada 16 penumpang rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden gelora udara ketika menaiki penerbangan SQ321 Singapore Airlines (SIA) sudah kembali ke tanah air, setakat semalam.

Menurut Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, seorang penumpang yang cedera dalam insiden tersebut sudah dibenarkan keluar hospital dan sedang menunggu proses dibawa pulang dalam masa terdekat.

“Tujuh lagi rakyat Malaysia, masing-masing dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin dan di Hospital Samitivej Sukhumvit sudah dipindahkan ke wad biasa dan berada dalam keadaan stabil.

“Seorang lagi rakyat Malaysia yang juga kru pesawat SQ321 SIA dan turut terjejas dalam insiden berkenaan akan melakukan penerbangan ke Singapura, hari ini,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Mohamad berkata, Kementerian Luar melalui Pejabat-pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia (Malawakil) di Bangkok terus memantau perkara itu dan sedang berusaha membantu semua mangsa terbabit terutama bagi mempermudah urusan pulang ke tanah air.

Pada 21 Mei lepas, pesawat SIA penerbangan SQ321 membawa 211 penumpang dan 18 kru itu sedang dalam penerbangan dari London ke Singapura terlibat dalam gelora udara di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter

Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi pada pukul 3.45 petang waktu tempatan.

Dalam kejadian itu, seorang penumpang warga United Kingdom (UK) maut manakala lebih 30 lagi cedera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button