BERITA SEMASA

Kupang tercemar: Kandungan biotoksin menurun, pemantauan rapi diteruskan – Jalaluddin

SEREMBAN – Jabatan Perikanan (DOF) masih memantau rapi isu pencemaran kupang di pantai Port Dickson meskipun kandungan biotoksin telah menurun.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, langkah pemantauan dan analisis lanjut sedang dilaksanakan.

“Saya telah mengarahkan DOF Negeri Sembilan untuk menjalankan satu lagi analisis identifikasi jenis plankton sebelum sebarang keputusan membenarkan pengambilan kupang kepada masyarakat.

“Hasil ujian makmal terkini mendapati kandungan biotoksin dalam kupang di perairan tersebut kini mencatatkan sebanyak 498 per bilion (ppb).

“Ini merupakan kali pertama kandungan biotoksin berada di bawah paras 800 ppb setelah hampir lapan sampel diambil sebelum ini, mengikut kaedah analisis Detection of Paralytic Shellfish Poisoning (PSP),” katanya dalam kenyataan media.

Related Articles

Katanya, beliau yakin kupang di perairan pantai Port Dickson akan kembali selamat untuk dimakan tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Jalaluddin meminta DOF Negeri Sembilan merangka pelan galakan pemasaran dan promosi untuk pengambilan kupang serta bahan makanan berasaskan kerang-kerangan (dwicangkerang).

Katanya, pelan tersebut akan dilaksanakan apabila ujian makmal mendapati ia selamat digunakan.

Sehubungan itu, DOF Negeri Sembilan menyelaras setiap pelan galakan pemasaran dan promosi tersebut bersama jabatan, agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan agar semua pengguna terus mematuhi arahan pihak berkuasa dalam masa terkini.

“Orang ramai diminta tidak memungut dan memakan hasil dwicangkerang dari perairan pantai Port Dickson selagi kandungan biotoksin masih berada di bawah paras bahaya,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button