Krisis iklim punca lonjakan harga makanan global
BARCELONA – Cuaca ekstrem akibat perubahan iklim semakin memberi kesan kepada bekalan makanan dunia, sekali gus mendorong lonjakan harga barangan asas seperti beras, koko, kopi, kentang dan sayur-sayuran, menurut laporan terkini sekumpulan saintis antarabangsa.
Kajian yang diterbitkan oleh enam organisasi penyelidikan Eropah bersama Bank Pusat Eropah itu mendedahkan hubungan langsung antara kejadian cuaca ekstrem seperti gelombang haba, banjir dan kemarau dengan peningkatan ketara harga makanan sejak tahun 2022.

“Sehingga kita mencapai pelepasan sifar bersih, cuaca ekstrem akan terus menjadi lebih buruk.
“Ia kini sudah pun merosakkan hasil tanaman dan menaikkan harga makanan di seluruh dunia,” kata penulis utama laporan, Maximillian Kotz dari Barcelona Supercomputing Center, lapor Al Jazeera.
Antara contoh paling ketara ialah lonjakan harga koko sebanyak 280 peratus pada April 2024 susulan gelombang haba melanda Ghana dan Ivory Coast iaitu dua negara pengeksport utama koko dunia.
Di Australia pula, harga salad meningkat 300 peratus selepas berlaku banjir besar pada tahun 2022.
“Rakyat sedar akan kesan ini di mana kenaikan harga makanan kini menjadi kesan kedua paling ketara akibat perubahan iklim dalam hidup mereka, selepas suhu panas melampau.
“Keluarga berpendapatan rendah paling terkesan apabila harga makanan melonjak,” tambah Kotz.
Negara di Asia turut terkesan dengan situasi tersebut apabila harga kubis di Korea Selatan meningkat 70 peratus pada September 2024, sementara Jepun menyaksikan peningkatan 48 peratus harga beras pada bulan yang sama.
Di India, harga kentang melonjak 81 peratus awal tahun ini selepas musim panas melampau.
Laporan itu diterbitkan menjelang Sidang Kemuncak Sistem Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Food Systems Summit) yang bakal berlangsung di Addis Ababa, Habsyah dari 27 hingga 29 Julai ini, dianjurkan bersama oleh Habsyah dan Itali.
Ia juga hadir ketika isu kos sara hidup dan keterjangkauan makanan menjadi tumpuan utama dalam pelbagai pilihan raya di seluruh dunia, termasuk di Jepun dengan harga beras menjadi antara isu hangat di kalangan pengundi.
“Di UK sahaja, perubahan iklim menyumbang tambahan £360 (kira-kira RM2,300) kepada bil makanan tahunan isi rumah purata sepanjang 2022 dan 2023,” kata Amber Sawyer, salah seorang penulis bersama laporan daripada Energy and Climate Intelligence Unit (ECIU).
Di bawah Konvensyen Rangka Kerja PBB Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), negara-negara telah berikrar untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 2.6 peratus antara 2019 hingga 2030.
Namun, saintis memberi amaran bahawa sasaran ini masih jauh daripada mencukupi untuk mencapai matlamat Perjanjian Paris bagi mengehadkan pemanasan global kepada 1.5°C.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







