KPDN perkukuh penguatkuasaan, kekang isu ketirisan dan penyeludupan
KUALA LUMPUR – Elemen penguatkuasaan akan terus diperkukuh bagi mengekang isu ketirisan dan penyeludupan bagi memastikan kestabilan bekalan barang kawalan di pasaran.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, langkah itu bertujuan menjamin situasi pasaran tempatan susulan ketidaktentuan geopolitik akibat konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.
“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam rantaian bekalan barang kawalan, KPDN telah merangka strategi lebih agresif bagi mendepani sebarang kemungkinan gangguan bekalan bahan api global yang boleh memberi kesan langsung kepada ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, beberapa langkah strategik akan dilaksanakan bagi memastikan bekalan mudah didapati oleh rakyat.
“Selari dengan inisiatif kelangsungan tenaga, bermula 1 April ini, KPDN akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan penjualan dan pembelian minyak petrol RON95 oleh kenderaan berpendaftaran asing.
“Langkah ini antara strategi bagi memastikan subsidi terus dinikmati rakyat Malaysia saja.
“KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemilik atau pemandu kenderaan asing atau pengusaha stesen minyak yang melanggar peraturan ini akan berdepan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” tegasnya.
Tambah beliau, iltizam dan usaha berterusan KPDN itu selari dengan saranan dan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan kelangsungan bekalan tenaga negara terus terjamin serta dapat memenuhi keperluan rakyat.
“Bermula Rabu ini juga, khusus untuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, KPDN mengeluarkan arahan kepada semua pelesen stesen minyak supaya melaksanakan kawalan penjualan minyak diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat mengikut kategori kenderaan, dalam kuantiti 50 liter, 100 liter dan 150 liter pada setiap transaksi pembelian.
“Langkah ini penting bagi memastikan bekalan minyak diesel dijual pada harga subsidi RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan tidak dieksploitasi sindiket penyeludupan atau sektor industri tidak layak,” katanya.
Sementara itu tambahnya, dalam aspek penguatkuasaan pula, seramai 2,400 pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara kini berada dalam kesiapsiagaan tinggi bagi melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan.
“Melalui OPS TIRIS 4.0, KPDN akan memperkukuh kerjasama strategik secara bersepadu dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain bagi menutup ruang penyelewengan serta ketirisan.
“Sebarang cubaan oleh mana- mana pihak, sama ada individu atau sindiket cuba mengambil kesempatan dalam situasi konflik global ini tidak akan dikompromi.
“Perbuatan menyeleweng subsidi negara adalah pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan negara. Jadi, tindakan penguatkuasaan paling tegas akan diambil tanpa sebarang toleransi,” katanya.
Sehubungan itu, seluruh rakyat sama ada pengguna, peniaga mahupun pihak industri atau mana-mana organisasi digesa bersama-sama menyokong gerakan KITA GEMPUR (Gerakan Membasmi Manipulasi dan Ketirisan) demi manfaat bersama.
Sebarang aduan atau maklumat berkaitan boleh disalur melalui WhatsApp 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN (https://eaduan.kpdn.gov.my); Call Centre 1-800-886-800; dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








