
KPDN beri amaran peniaga jual gula melebihi harga kawalan
KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran kepada peniaga barangan runcit, supaya tidak menjual gula melebihi harga kawalan.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, menegaskan peniaga yang didapati menyorok bekalan dan menetapkan pembelian gula secara bersyarat akan berdepan tindakan dikompaun, lesen digantung atau lesen disenarai hitam serta-merta.
Katanya, hukuman tersebut perlu dibuat berikutan tindakan mereka menjejaskan bekalan dalam negara, selain pengguna terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan bekalan.
Sehubungan dengan itu, katanya, Ops Manis yang dilancarkan bermula 3 Mei lalu sehingga kelmarin membabitkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah, akan dilanjut sehingga 30 Jun ini serta diperluas ke seluruh negara.
“KPDN tidak akan berkompromi lagi dan akan ambil tindakan tegas serta-merta, termasuk mereka yang didapati menjual gula putih bertapis kasar secara bersyarat, termasuk gula jernih.
“Kita ada terima aduan kononnya dia (peniaga) kata boleh beli dua pek gula subsidi dengan syarat beli satu kilogram gula premium tidak bersubsidi.
“Itu pun satu kesalahan yang dilanggar dalam syarat lesen dikeluarkan itu,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Salahuddin berkata, tujuh kes membabitkan penjualan bekalan guna melebihi harga kawalan diterima setakat ini dan meminta pengguna terus berkongsi maklumat dengan KPDN jika mengesan ada peniaga dan premis perniagaan melanggar syarat jualan.
“Apabila berlaku pelanggaran di mana-mana tempat, kedai atau daerah, katanya, KPDN akan mengeluarkan arahan digantung lesen dan disenarai hitam serta-merta,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








