Komander elit Hizbullah terkorban dalam serangan Israel di Beirut
BEIRUT – Seorang komander kanan Pasukan Radwan, unit elit Hizbullah, dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut lewat malam tadi, menandakan berakhirnya tempoh hampir sebulan tanpa serangan di kawasan kubu kuat kumpulan itu.
Sumber rapat dengan Hizbullah mengesahkan Malek Ballout, yang berperanan sebagai komander operasi Pasukan Radwan, maut selepas bangunan yang dijadikan lokasi mesyuarat kumpulan itu diserang pesawat tempur Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, operasi ketenteraan itu menyasarkan anggota kanan Pasukan Radwan, iaitu unit elit Hizbullah yang terlibat dalam operasi ketenteraan kumpulan berkenaan.
Menurut Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan, serangan udara terbabit tertumpu di kawasan Ghobeiri yang terletak di selatan Beirut dan dikenali sebagai antara kawasan pengaruh utama Hizbullah.
Sebuah bangunan dilaporkan musnah sepenuhnya sehingga hanya tinggal timbunan runtuhan, manakala penduduk sekitar dilihat meninggalkan kawasan itu dengan membawa barangan peribadi masing-masing.
Sumber keselamatan Lubnan pula memaklumkan apartmen yang diserang dipercayai sedang digunakan pemimpin Pasukan Radwan bagi mengadakan pertemuan ketika serangan berlaku.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dalam beberapa siri serangan Israel di bahagian selatan dan timur negara itu.
Kawasan pinggir selatan Beirut sebelum ini tidak menjadi sasaran serangan sejak 8 April lalu, susulan gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 17 April selepas konflik berpanjangan di Asia Barat.
Bagaimanapun, kebanyakan penduduk di kawasan berkenaan masih belum kembali menetap selepas meninggalkan kediaman mereka ketika pertempuran antara Hizbullah dan Israel memuncak sejak Mac lalu.
Sebelum ini, serangan besar-besaran Israel di seluruh Lubnan dilaporkan meragut lebih 350 nyawa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








