Kes Zayn Rayyan: Bapa akan beri keterangan Isnin depan
KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes bela diri membabitkan ibu kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, akan bersambung Isnin depan dengan bapa mangsa dijangka tampil sebagai saksi pembelaan.
Zaim Ikhwan Zahari, 30, yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan anak, akan menjadi saksi pembelaan kelima, manakala seorang doktor turut dijangka memberi keterangan sebagai saksi keenam.
Perbicaraan dijadual berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sehingga 8 Ogos ini di hadapan Hakim Syahliza Warnoh.
Sebelum ini, mahkamah memerintahkan isteri Zaim, Ismanira Abdul Manaf, 30, membela diri atas tuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut antara 5 Disember 2023 jam 12 tengah hari hingga 6 Disember 2023 jam 9.55 malam di kawasan sekitar Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga ke sungai berhampiran.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, saksi pembelaan keempat memberitahu mahkamah bahawa sepanjang mengenali Ismanira sejak 2019, dia tidak pernah melihat wanita itu meninggalkan anak-anaknya bersendirian di kawasan perumahan tersebut.
Kes ini terus menarik perhatian masyarakat memandangkan ia membabitkan kematian tragik seorang kanak-kanak autistik yang ditemukan tidak bernyawa berhampiran sungai di Damansara Damai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








