BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kes pemandu mabuk: Hukuman penjara tidak memadai, NGO desak perkenal ‘diyat’

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menyeru kerajaan supaya meneliti pelaksanaan konsep ‘diyat’ sebagai langkah tambahan untuk membantu keluarga mangsa yang terkorban akibat kemalangan melibatkan pemandu mabuk.

Pengerusinya, Zainul Rijal Abu Bakar, menyifatkan insiden berkenaan bukan sekadar kemalangan biasa, tetapi berpunca daripada kecuaian serius yang tidak boleh dipandang ringan.

“Walaupun nyawa yang hilang tidak dapat dikembalikan, keadilan tetap perlu ditegakkan dan kebajikan keluarga mangsa harus diberi perhatian.

“Konsep ‘diyat’ boleh dipertimbangkan sebagai salah satu mekanisme tambahan bagi membantu meringankan kesusahan yang ditanggung keluarga mangsa akibat kecuaian tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan bahawa konsep ‘diyat’, yang berasal daripada hukum jenayah Islam, merujuk kepada bayaran pampasan atau ganti rugi kepada mangsa atau keluarga mangsa dalam kes kecederaan atau kematian dan boleh dipertimbangkan sebagai mekanisme untuk meringankan beban mereka.

Kenyataan itu dibuat susulan satu kemalangan maut di Klang yang berlaku semalam, melibatkan seorang penunggang motosikal yang maut di tempat kejadian selepas dirempuh sebuah kereta.

Polis memaklumkan bahawa pemandu kereta jenis Honda City tersebut dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah ketika kejadian.

Siasatan awal mendapati pemandu berkenaan memandu secara berbahaya dan laju, memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagi kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya, individu yang disabitkan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Dalam pada itu, Zainul Rijal turut memaklumkan bahawa pihak Pembela bersedia menawarkan bantuan guaman secara percuma kepada keluarga mangsa.

“Bantuan tersebut meliputi nasihat undang-undang, pemantauan prosiding kes serta perwakilan di mahkamah bagi memastikan keadilan ditegakkan dan pampasan sewajarnya diperoleh,” katanya.

Katanya, sikap berlembut terhadap pelaku hanya akan memberi isyarat yang salah kepada masyarakat dan berpotensi mengundang lebih banyak tragedi.

Pembela juga mendesak pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas dan menyeluruh, termasuk mempercepatkan proses pendakwaan serta memastikan hukuman yang setimpal dikenakan.

“Kegagalan berbuat demikian, tegas beliau, merupakan satu pengkhianatan terhadap keadilan dan keselamatan awam,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button