JENAYAH & MAHKAMAH

Kes gadis maut dengan 61 tikaman: Dua remaja disambung reman 7 hari lagi

KOTA BHARU – Dua remaja lelaki berusia 19 tahun yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan kejam seorang gadis dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh minggu lalu, disambung reman selama tujuh hari lagi bermula hari ini.

Perintah lanjutan reman itu dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid bagi membolehkan polis meneruskan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang memakai pakaian lokap berwarna oren tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu kira-kira pukul 8.50 pagi dengan menaiki kenderaan polis, memetik laporan Kosmo! Online.

Kes berkenaan mendapat perhatian ramai selepas mayat mangsa, Nurfisya Zulkifly, 19, ditemukan di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh pada 1 Mei lalu dalam keadaan menyayat hati.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat sebelum ini dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan awal pasukan forensik mendapati terdapat 61 kesan tikaman pada tubuh mangsa bermula dari bahagian muka hingga kaki.

BACA JUGA:

Pelajar kolej maut dengan 61 tikaman: Empat suspek termasuk warga emas dibawa ke mahkamah untuk reman

Jasad wanita ditinggal tepi jalan ada 61 kesan tikaman – Polis

Menurut beliau, kebanyakan kecederaan tertumpu di bahagian kanan badan mangsa.

Susulan penemuan mayat itu, polis menahan empat individu termasuk pasangan suami isteri warga emas bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid membenarkan kedua-dua remaja tersebut direman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu sehingga hari ini.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri berusia 66 dan 60 tahun yang turut ditahan reman selama tiga hari telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button