Kes ‘ah long’ dilapor MHO ada kaitan siasatan sedia ada, tiga lelaki ditahan
KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan kes sebuah telefon bimbit yang dipercayai milik ahli sindiket pemberi pinjam wang tidak berlesen atau ‘ah long’ mempunyai kaitan dengan siasatan sedia ada membabitkan penahanan tiga lelaki tempatan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Hoo Chang Hook berkata, siasatan awal mendapati laporan berkenaan berkait dengan satu kertas siasatan yang telah dibuka mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
Menurut beliau, laporan dibuat oleh seorang aktivis daripada Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO) pada jam 9.22 pagi semalam selepas rakannya didakwa menerima ugutan daripada ejen pinjaman wang tidak berlesen.
“Dalam kes ini, tangkapan telah dibuat pada 6 Mac lalu membabitkan tiga lelaki tempatan.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan beberapa lagi individu yang mempunyai kaitan dengan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut berhubung cadangan pertuduhan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan sebarang bentuk jenayah komersial,” katanya lagi.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut supaya tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis atau balai berhampiran.
Maklumat juga boleh disalurkan melalui Hotline Polis Daerah Brickfields di talian 03-2297 9222 atau Hotline Polis Kontinjen Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999.
Sebelum itu, Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim mendakwa pihaknya menemukan sebuah telefon bimbit yang dipercayai mengandungi pelbagai maklumat berkaitan operasi sindiket pemberi pinjam wang tidak berlesen.
Menurutnya, telefon berkenaan dipercayai mengandungi bukti kegiatan sindiket terbabit termasuk dokumen serta maklumat berkaitan modus operandi kumpulan itu yang didakwa beroperasi secara tersusun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








