BERITA SEMASA

Kerajaan sedia aktifkan pelan evakuasi pelajar Malaysia di Asia Barat

MELAKA – Kerajaan bersedia mengaktifkan pelan pemindahan kecemasan bagi membawa pulang pelajar Malaysia di Asia Barat sekiranya keadaan keselamatan di rantau itu semakin meruncing.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, pelan evakuasi tersebut telah pun disediakan lebih awal dan boleh dilaksanakan pada bila-bila masa bergantung kepada perkembangan semasa.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Tinggi bersama Kementerian Luar Negeri sentiasa memantau situasi di negara terlibat bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia khususnya pelajar, sentiasa terjamin.

“Pelajar Malaysia yang berada di negara berkenaan juga telah dikenal pasti serta dihubungi melalui wakil Malaysia di luar negara bagi memberikan nasihat dan panduan sekiranya keadaan memerlukan mereka dipindahkan.

“Ibu bapa yang ingin mendapatkan perkembangan terkini mengenai anak-anak mereka boleh membuat semakan melalui Wisma Putra,” katanya memetik laporan FMT.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar bersama Timbalan Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi, di sini semalam.

BACA JUGA:

649 rakyat Malaysia masih terkandas di Asia Barat susulan konflik

Menurut Adam Adli, setakat ini kementerian mengenal pasti kira-kira 1,762 pelajar Malaysia berada di Jordan, diikuti Arab Saudi (135), Emiriah Arab Bersatu (21), Kuwait (9), Iran (6) dan Qatar (3).

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pelajar yang baru menerima tawaran melanjutkan pengajian ke universiti di Asia Barat supaya menangguhkan perjalanan buat sementara waktu berikutan keadaan semasa yang masih belum kondusif.

Katanya, gangguan penerbangan ke beberapa negara di rantau berkenaan turut menjejaskan perjalanan ke destinasi tersebut.

“Bagi pelajar yang bakal ke sana, mungkin baru menerima tawaran atau akan memulakan pengajian, keadaan ketika ini belum begitu kondusif.

“Langkah paling selamat ialah menangguhkan perjalanan buat sementara waktu serta terus berhubung dengan universiti masing-masing dan KPT bagi mendapatkan maklumat terkini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button