Kerajaan pertimbang saman Kumpulan Sulu, tuntut ganti rugi
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memfailkan saman terhadap Kumpulan Sulu susulan tuntutan palsu dan tidak berasas ke atas Sabah, sehingga menyebabkan negara terpaksa menanggung pelbagai implikasi termasuk dari segi kewangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata selain memastikan kebenaran berpihak kepada Malaysia, tindakan saman juga bagi menuntut kumpulan berkenaan membayar kos berkaitan kes yang terpaksa dikeluarkan negara disebabkan tuntutan tidak berasas itu.
“Kerajaan akan saman kumpulan itu supaya mereka membayar semua kos yang sudah kerajaan belanjakan untuk mempertahankan kedaulatan negara dalam kes tuntutan itu.
“Mereka perlu membayar semua kos yang kita hadapi ketika berhadapan tuntutan termasuk kos kita pergi ke sana sini (bagi mempertahankan diri), kos mendapatkan perunding dan peguam dan pakar luar,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Azalina berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Taklimat Bersama Ketua Penerangan UMNO Bahagian di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Mahkamah Rayuan Paris semalam mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar ‘Partial Award’ yang diputuskan Dr Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020 dalam kes tuntutan lapan rakyat Filipina yang juga Kumpulan Sulu.
Keputusan dibuat selepas Mahkamah Rayuan Perancis mendapati penimbang tara itu terkhilaf dalam bidang kuasanya, sekali gus memberi kemenangan muktamad kepada Malaysia untuk menegakkan undang-undang dan menolak tuntutan tidak masuk akal dikemukakan.
Keputusan itu bermakna pihak yang menuntut terbabit tidak lagi boleh bergantung kepada keputusan salah yang dibuat di Perancis pada Februari 2022, atas apa-apa tujuan.
Sementara itu, Azalina tidak menjelaskan bila dan bagaimana tindakan saman terhadap Kumpulan Sulu itu mahu dilaksanakan.
“Kita akan buat apa yang perlu, tetapi saya tidak dapat memberitahu apa yang akan kami lakukan dan bila akan dilakukan secara terperinci,” katanya.
Beliau menjelaskan dengan keputusan Mahkamah Paris semalam, kerajaan lebih yakin bagi menghadapi dua lagi kes tuntutan iaitu di Mahkamah Amsterdam pada 27 Jun dan di Luxemburg pada September ini.
Katanya, keputusan Mahkamah Paris semalam jelas mengesahkan proses abritrasi itu berhubung tuntutan Kumpulan Sulu itu tidak wujud.
“Keputusan semalam jelas menunjukkan kumpulan Sulu ini mengambil kesempatan dan tidak mengikut undang-undang, sebaliknya bertindak menggunakan platform timbang tara komersial antarabangsa dengan menyasarkan aset negara.
“Jelas sekali Kumpulan Sulu ini menyalahgunakan undang-undang, mengapa mereka melompat dari satu mahkamah ke mahkamah yang lain selepas sudah ada keputusan di Sepanyol dalam kes tuntutan ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








