BERITA SEMASAMALAYSIA MADANI

Kerajaan laksana perolehan aset pertahanan secara G2G – Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan kini melaksanakan perolehan aset dan sistem pertahanan negara secara terus antara kerajaan (G2G) tanpa melibatkan ejen atau sebarang bayaran komisen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut merupakan pendekatan baharu di bawah Kerajaan MADANI bagi memastikan ketelusan dan menutup ruang berlakunya penyelewengan dalam sektor pertahanan.

Menurut beliau, kaedah perolehan sebelum ini sering dikaitkan dengan amalan rasuah, menjadikan pembelian aset pertahanan antara sektor paling terdedah kepada salah guna dana awam.

“Perkara ini belum pernah berlaku sebelum ini kerana pembelian senjata lazimnya merupakan antara sektor paling terdedah kepada amalan rasuah, tempat di mana wang rakyat sering diseleweng.

“Jadi apa prinsip asas kita? Jalankan urusan secara terus antara kerajaan dan elakkan kaedah lama yang membuka ruang kepada pengambilan komisen atau penyelewengan,” katanya dalam wawancara bersama saluran berita antarabangsa France 24 semalam.

Anwar turut berkata, pendekatan itu telah dibincangkan secara rasmi dengan kerajaan Perancis dan Itali dalam siri lawatan kerja terbaharu beliau.

Mengulas dakwaan kononnya siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan keluarganya bermotifkan politik, Anwar menegaskan perkara itu tidak benar.

Jelas beliau, semua siasatan berhubung rasuah dilaksanakan secara profesional tanpa mengira kedudukan atau latar belakang politik individu yang terlibat.

“Bukan soal sama ada seseorang itu bekas Menteri Kewangan atau bekas Perdana Menteri. Itu tidak penting.

“Persoalannya, dari mana datangnya berbilion ringgit ini? Anak-anak mereka sendiri mengisytiharkan di bawah sumpah bahawa mereka memiliki lebih daripada RM1 bilion.

“Saya anggap menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan budaya rasuah seperti ini dihentikan.

“Sebarang wang yang dicuri daripada rakyat mesti dikembalikan kerana kita mahu memperbaiki sekolah-sekolah dan membantu golongan miskin,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Anwar menegaskan kerajaan komited memperkukuh tadbir urus melalui reformasi institusi serta memastikan segala urusan pentadbiran dijalankan dengan telus dan berintegriti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button