JENAYAH & MAHKAMAH

Kerajaan diperintah bayar RM2.73 juta kepada kanak-kanak rosak otak kekal

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Alor Setar memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi berjumlah RM2.73 juta kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, yang mengalami kerosakan otak kekal akibat kecuaian ketika kelahirannya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Aimi Zaini Mohd Azhar, menetapkan perintah itu berdasarkan alasan penghakiman bertarikh 7 Mei lalu, dalam kes saman yang dikemukakan oleh bapa bagi pihak kanak-kanak terbabit pada 10 Mei 2022.

Ia berikutan kerajaan yang dinamakan sebagai defendan mengakui liabiliti (tanggungjawab dari segi undang-undang) terhadap keadaan kanak-kanak itu yang mengalami Hypoxic Ischaemic Encephalopathy (HIE).

HIE adalah keadaan kecederaan atau kerosakan otak yang berlaku apabila otak bayi tidak mendapat oksigen dan aliran darah yang mencukupi sebelum, semasa atau sejurus selepas kelahiran.

Menurut dokumen mahkamah, ibu kanak-kanak terbabit dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, selepas mengalami kontraksi pada pukul 7.45 pagi, pada 14 Mei 2017.

Mahkamah Tinggi kemudiannya diberitahu bacaan kardiotokografi (rekod pemantauan denyutan jantung bayi dalam kandungan dan kontraksi rahim ibu) kemudian menunjukkan tanda-tanda janin mengalami tekanan.

Susulan itu, proses kelahiran menggunakan bantuan vakum membabitkan lima tarikan vakum akhirnya dijalankan pada awal pagi 15 Mei.

Kanak-kanak terbabit dilahirkan pada pukul 3.09 pagi dengan skor Apgar yang sangat rendah dan memerlukan resusitasi segera selepas kadar denyutan jantungnya menurun kepada 60 denyutan seminit.

Skor Apgar ialah penilaian cepat terhadap keadaan bayi yang baru lahir untuk melihat sama ada bayi memerlukan bantuan perubatan segera.

Plaintif kemudian didiagnosis mengalami HIE tahap lima yang menyebabkan kecederaan otak serius.

Pada 11 Disember 2024, kerajaan mengakui liabiliti dan tuntutan terhadap doktor dan jururawat dalam kes saman itu ditarik balik.

Mahkamah kemudian meneruskan prosiding bagi penilaian ganti rugi.

Menurut Mohd Aimi Zaini, mahkamah menerima bahawa keadaan kanak-kanak itu kekal dan tidak boleh dipulihkan, selain dia akan terus bergantung sepenuhnya kepada orang lain dalam setiap aspek kehidupan hariannya.

Mahkamah sehubungan itu memerintahkan kerajaan membayar RM1,389,414 bagi penjagaan masa depan dan perbelanjaan berkaitan termasuk keperluan perubatan serta pemulihan, RM400,000 bagi ganti rugi am untuk kesakitan dan penderitaan serta kehilangan nikmat hidup, dan RM314,686.12 bagi ganti rugi khas.

Mahkamah turut membenarkan RM238,500 bagi ganti rugi sebelum perbicaraan, RM200,000 bagi ganti rugi am masa depan dan kos sebanyak RM186,159.72 kepada plaintif.

Bagaimanapun, mahkamah menolak pelbagai tuntutan bagi rawatan perubatan masa depan, konsultasi, pemulihan, ubat-ubatan dan pembedahan dengan memutuskan kanak-kanak itu berhak menerima rawatan percuma di hospital kerajaan.

Dalam kes saman berkenaan, plaintif diwakili peguam Manmohan Singh Dhillon, Desmond Mun dan Alicia Chin manakala Peguam Kanan Persekutuan Siti Asmath Che Man bertindak mewakili kerajaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button