POLITIK

Keputusan MCA & MIC tidak bertanding akan dibincang

PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) tetap akan menghormati keputusan MIC dan MCA yang mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang selepas perkara itu dibincang dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN 10 Julai ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pertimbangan terhadap keputusan yang dimaklumkan kepada beliau malam tadi itu akan dibawa ke meja perbincangan kerana BN sudah menetapkan kerusi untuk kedua-dua parti komponen itu.

“Malam tadi saya dihubungi oleh Presiden MCA mengenai keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi mereka.

“Saya juga telah membaca kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung MIC tentang keputusan untuk tidak menyertai pilihan raya di enam negeri nanti.

“Sebagai Pengerusi BN, saya menghormati keputusan yang dibuat oleh kedua-dua parti dan kita akan membincangkan perkara ini pada 10 Julai nanti dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.

Semalam, MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan untuk memfokuskan kepada proses pengukuhan parti.

Ditanya kemungkinan keputusan itu sebagai satu tindakan boikot kepada BN, Ahmad Zahid berpandangan ia adalah keputusan peribadi dan tidak mahu ada pihak yang membuat sebarang spekulasi mengenainya.

“Kita sebenarnya menetapkan MIC dan MCA ada kerusi tapi kalau itu keputusan yang mereka putuskan kita akan bincangkan.

“Kita menghormati apa sahaja keputusan mereka. Yang penting BN akan tetap bersama Kerajaan Perpaduan dalam PRN pada 12 Ogos nanti,” katanya.

Tambah Zahid, MCA dan MIC akan tetap bersama jentera kempen BN pada PRN di enam buah negeri kali ini.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button