BERITA SEMASAPOLITIK

Ahmad Maslan cadang tangguh PRN Johor, Melaka

KULAI – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan mencadangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRN Melaka ditangguhkan ekoran situasi semasa tidak menentu termasuk ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat serta tekanan kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, cadangan penangguhan pilihanraya itu akan dibawa ke meja perbincangan Mesyuarat MKT UMNO pada 17 April ini.

Ahmad berkata, keadaan semasa dilihat kurang sesuai untuk mengadakan pilihan raya ketika rakyat masih berdepan pelbagai kesan ekonomi termasuk isu harga bahan api.

“Pada pandangan logik politik, ketika keadaan tidak tenang dan rakyat sedang susah, tidak wajar untuk diadakan pilihan raya dalam masa terdekat.

“Kalau ketidaktentuan politik yang berlaku di luar sana dan melihat kesusahan rakyat sekarang, mungkin tidak sesuai untuk diadakan PRN dalam masa terdekat. Kita perlu pilih waktu yang lebih tenang dan strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja ke Pejabat Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kulai, hari ini.

Beliau menjelaskan, cadangan itu akan dikemukakan kepada MKT UMNO untuk dipertimbangkan termasuk kemungkinan menetapkan tarikh yang lebih sesuai dan strategik bagi pelaksanaan PRN kedua-dua negeri berkenaan.

Tambahnya lagi, PRN Melaka dijangka tamat mandat pada akhir tahun ini, manakala PRN Johor pula dijangka tamat mandat pada Mac 2027.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut mencadangkan agar kedua-dua PRN tersebut dilaksanakan secara serentak bagi menjimatkan kos serta memudahkan pengurusan pilihan raya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button