Keputusan AirAsia benarkan kru kabin pakai hijab langkah progresif
KUALA LUMPUR – Keputusan AirAsia membenarkan kru kabin wanita memakai hijab ketika bertugas di semua laluan penerbangan bermula tahun depan adalah langkah progresif dan amat dialu-alukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, keputusan itu mencerminkan komitmen syarikat penerbangan tersebut terhadap prinsip kepelbagaian, keterangkuman dan penghormatan terhadap tuntutan agama dalam kalangan pekerja Muslimah AirAsia.
“Saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada syarikat penerbangan terkemuka, AirAsia atas pengumuman dasar pakaian seragam baharu yang lebih inklusif. Saya menyambut baik dan mengucapkan tahniah atas keputusan matang oleh pihak pengurusan AirAsia.
“Tidak lupa juga, saya ingin menyampaikan ucapan tahniah dan penghargaan khusus kepada para asatizah dan pihak yang terlibat yang telah gigih mengadakan perbincangan dan libat urus secara berterusan dengan pihak AirAsia,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebooknya, hari ini.
Mohd Na’im turut menyifatkan, usaha murni itu merupakan kunci kejayaan dalam merealisasikan pilihan seragam berhijab yang dijangka akan mula dilaksanakan pada suku pertama tahun 2026.
“Saya berharap keputusan AirAsia ini akan menjadi contoh terbaik kepada syarikat-syarikat korporat lain di Malaysia untuk sentiasa prihatin dan menyokong kebebasan serta hak setiap pekerja dalam menjalankan tuntutan agama mereka, selaras dengan semangat perlembagaan negara dan nilai-nilai Malaysia Madani,” katanya.
Laporan media semalam menyebut, AirAsia mengumumkan pembaharuan dalam polisi pakaian seragam kru kabin yang membolehkan kru wanita mempunyai pilihan untuk memakai hijab semasa bertugas.
Polisi baharu itu selaras dengan budaya AirAsia dan evolusi berterusan yang dibentuk hasil maklum balas daripada semua pihak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








