BERITA SEMASA

Kelantan nafi arah tutup pasar raya hingga 1 tengah hari pada 1 Syawal

PETALING JAYA – Kerajaan Kelantan menafikan dakwaan kononnya semua premis kompleks beli-belah dan pasar raya di Kota Bharu diarahkan menutup operasi sehingga pukul 1 tengah hari pada hari pertama Aidilfitri dan Aidiladha.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, notis yang tular di media sosial mengenai perkara itu tidak benar.

Menurutnya, surat yang dikongsi itu juga tidak menyatakan tarikh dan tahun secara jelas sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Apa yang sedang tular itu tidak benar. Lagipun tarikh dan tahun tidak dinyatakan secara jelas dalam surat berkenaan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Tambah beliau, sebarang keputusan berhubung perkara itu hanya akan diputuskan selepas dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri yang dijadualkan berlangsung Rabu ini.

Terdahulu, tular satu notis yang mendakwa Majlis Perbandaran Kota Bharu mengarahkan semua premis di kompleks beli-belah dan pasar raya menutup operasi sehingga pukul 1 tengah hari pada hari pertama Aidilfitri dan Aidiladha bagi memberi peluang kepada pekerja menunaikan solat sunat Hari Raya.

Pada 26 Februari lalu, kerajaan Kelantan dilaporkan sedang meneliti semula operasi pasar raya pada hari pertama Aidilfitri susulan rungutan pekerja yang tular di media sosial.

Hilmi sebelum ini memaklumkan perkara itu diberi perhatian kerana terdapat pekerja yang terpaksa bertugas pada 1 Syawal, sedangkan kebanyakan premis perniagaan di negeri itu sebelum ini menutup operasi sepenuhnya pada hari berkenaan.

Bagaimanapun, sejak tahun lalu, sebahagian pasar raya besar dilaporkan mula beroperasi pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button