‘Kedudukan saya dalam parti, kerajaan akan diumum ketika PAU’ – Dr Akmal
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh menegaskan kedudukannya dalam parti dan kerajaan akan diumumkan ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu depan.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.
“Insya-Allah kedudukan saya di dalam parti dan kerajaan juga akan saya umumkan di dalam PAU minggu hadapan. Siapalah kita tanpa rakyat yang mengangkat kita pada hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Akmal berkata, beliau akan terus bersuara pada PAU akan datang dan membawa suara akar umbi parti melalui cawangan dan bahagian.
“Kita dah bersuara di konvensyen dengan mendengar suara orang awam.
Insya-Allah kita teruskan bersuara di PAU pula minggu depan.
“Demi penyatuan agama bangsa kita
jangan pernah takut untuk bercakap mengenai perkara yang betul.
Bukan kerana jawatan dan pangkat kita menjadi pemimpin tetapi kerana rakyat di bawah,” katanya.
Sabtu lalu, ketika Konvensyen Khas Pemuda UMNO, sayap parti itu menolak sebarang usaha merampas kuasa dan ‘menebuk atap’ sehingga mengakibatkan Kerajaan Perpaduan yang memimpin negara ketika ini tumbang.
Namun, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau menggesa UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan untuk menjadi pembangkang.
Bagaimanapun cadangan tersebut mendapat pelbagai reaksi malah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menegaskan Barisan Nasional (BN) akan kekal mendokong Kerajaan Perpaduan hingga tamat tempoh penggal ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







