Kebakaran paip gas: YIDE bantu keperluan sekolah anak mangsa
SUBANG JAYA – Kerajaan negeri Selangor akan menyalurkan bantuan persekolahan kepada anak-anak mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights yang akan memulakan sesi persekolahan Isnin ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan berbentuk pakaian dan peralatan persekolahan itu disumbangkan oleh Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
“YIDE akan memberi sumbangan berupa peralatan dan pakaian sekolah kepada anak mangsa yang terlibat.
“Saya juga dimaklumkan Kementerian Pendidikan turut memberi sumbangan bernilai RM1,000 kepada setiap murid yang terkesan,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights.
Turut hadir Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han.
Sementara itu, Amirudin berkata, pihaknya juga telah meluangkan masa menziarahi mangsa yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang semalam.
Beliau berkata, mangsa berkenaan memiliki sejarah penyakit asma dan keadaan kesihatannya diburukkan lagi dengan kesan sampingan daripada insiden terbabit.
“Isteri mangsa masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, manakala lapan lagi ahli keluarganya berada dalam keadaan selamat.
“Saya percaya dua mangsa ini kita akan dapat lihat keperluan sokongan akan diberikan kepada mereka,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tua itu.
Selasa lalu, kebakaran besar saluran paip gas yang berlaku di Putra Heights pada hari raya kedua Aidifitri telah menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke PPS.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








